Thursday 8 June 2017

Dugaan Ramadan... Membentuk Anak Yang 'Bijak'

Membesarkan anak-anak bukan satu perkara mudah, bukan sekadar menyediakan makan, minum dan pakaian semata-mata tetapi penyediaan dalaman dengan kekuatan iman amat penting. Empat orang anak, tentunya ragam yang berbeza. Mujur anak sulung cepat matang, sentiasa serius dalam apa-apa yang dilakukan, waima memilih kawan dan pembelajaran tanpa perlu aku bimbang. Aku memantaunya sentiasa berdasarkan perkembangan usianya yang sudah semakin remaja.


Namun berlainan bagi anak kedua, barangkali kesilapanku kerana terlalu mempercayainya sebagaimana tingkah kakaknya yang sentiasa tegas dalam membuat keputusan. Ameer anak yang baik, melakukan kesilapan lantaran kelalaianku memberikan perhatian sewajarnya. Berlapang dada atas apa yang dilakukan lantas tanpa sedar dia menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh mana-mana ibu bapa.

Dalam usinya sembilan tahun, dia masih kain putih yang belum berwarna malah gagal juga untuk menilai warna-warna menarik sebagai latar kehidupan. Memang terkejut dengan apa yang cuba dilakukannya namun syukur kerana dapat dikesan awal malah dia mengakui melakukan kesilapan. Anak manakah yang tidak berbuat salah, malahan kreativiti Ameer dari zaman kecilnya melangkau apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak yang lain. Macam-macam tingkahnya yang membuatkan kami geleng kepala, namun dia anak syurga... pemahamannya pada nilai kehidupan masih terlalu nipis.

Dalam empat beradik, Amira paling tegas, memang bertanggungjawab, sebagai kakak sulung amat mudah membentuknya dengan disiplin dan kata-kata, juga pada adik-adiknya. Nilai agama menjadi keutamannya yang mendorong kami untuk membentuk diri lebih baik. Berbual dengannya juga sudah lebih kepada seorang rakan yang saling bertukar fikiran.

Ameer, anak nombor dua yang sangat ceria, mudah mesra dan senang berkawan, suka mengusik, lembut hati, mudah dipujuk dan mudah juga dipengaruhi lantas terpengaruh dengan rakan yang nakal dalam kawasan sekitar. Dengan itu, kami pula bertegas pada Ameer, memantau sepenuhnya apa sahaja yang dilakukan, dengan siapa berkawan malah untuk keluar bersendiri tidak dibenarkan sama sekali.

Afrina pula, sangat cerewet, memilih dan boleh tahan keras kepalanya. Dia mementingkan kebersihan dan apa-apa yang ingin dilakukan amat teliti, malah untuk berkawan pun dia sangat memilih. Untuk Ammar, dalam usianya setahun setengah masih terlalu kecil sebenarnya, keletahnya penuh menghiburkan ruang rumah kami, kemanjaannya terhadap keluarga memberi sepenuh perhatian hanya untuk dia sahaja.

Iktibar diambil atas setiap kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak. Merekalah guru terbaik dalam kehidupan bagi membentuk sikap ibu bapa yang bertanggungjawab. Kelalaian dari kami memberi perhatian akan membentuk sikap negatif dalam diri mereka sendiri. Tentunya komunikasi adalah tindakan yang paling berkesan selain doa kami selaku senjata dalam garis kehidupan anak-anak. Allahuakhbar... semoga anak-anakku menjadi anak yang soleh dan solehah, dari dunia hingga ke syurga kelak....  

 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers