Wednesday 19 April 2017

Keuzuran Bapak Bertambah

Bapak... pagi ini bapak mengadu sakit perut. Aku minta bapak berehat. Soal pemakanan yang agak sukar untuk dituruti menjadikan keadaan kesihatan kerap kali menjadi rumit antara aku dan bapak. Bapak perlu banyak berjaga-jaga namun dalam berkawal ada juga yang tak sengaja terkena....

Kemudian bapak muntah darah, sedikit sahaja... sekali, aku gosok-gosok belakang bapak, berikan ubat dan suruh dia berbaring. Barangkali panas sehinggakan meruap sedemikian. Dalam setengah jam kemudian, sekali lagi berlaku... bapak muntah darah lagi, dalam jumlah yang lebih banyak. Lantas, bersama Mr Hubby kami putuskan untuk ke hospital saja.
Sementara bersiap... bapak terus memucat. Wajahnya berubah, pandangannya juga seakan kosong dan semakin layu. Kalau tadi bapak boleh jalan sendiri ke luar namun untuk ke kereta bapak sudah perlu di papah. Peluh-peluh kecil memercik di dahi bapak. Tangannya sejuk. Mr Hubby memandu dengan Achik di sebelahnya, Amira duduk di sisi aku. Mereka berdua sudah tersedu, menahan tangis.

Allahuakhbar... aku gengam erat tangan bapak, sesekali aku usapnya, aku minta bapak tak henti menyebut kalimah Allah. Bapak menurut dengan mata yang terpejam rapat. Sunyi ruang dalam kereta....

Sesampai ke hospital bapak terus ditolak ke zon merah... kritikal. Tekanan darah bapak terlalu rendah, begitu juga bacaan oksigen yang rendah. Tangan bapak dicucuk jarum, drip air dimasukkan, tiub lain disalurkan melalui hidungnya mengeluarkan cairan kotoran darah pekat hitam dari badannya. Bapak tenang... boleh berbicara sebagaimana biasa, namun lemah.

Doktor bertugas bertanya soalan yang pelbagai kepadaku, makanannya, ubatannya, aktiviti hariannya, tahap kesihatannya dan macam-macam lagi.

Habis sebotol drip air namun tekanan darah bapak masih belum normal... botol kedua dimasukkan, doktor berusaha untuk menstabilkan tekanan darah dan oksigen bapak. Aku yakin, bapak akan kembali sembuh berdasarkan kepada pengamatan aku pada kedaan bapak.

Malam itu bapak dimasukkan ke wad 4B. Keesokannya bapak kena buat endoscopy. Memang perut bapak ada luka, sistem penghadaman bapak pun dah kurang berfungsi, juga ada luka di saluran pemakanannya yang menyebabkan bapak sehingga muntah darah. Bapak masuk drip, kiri dan kanan. Antibiotik sebelah kiri dan kanan masuk darah.

Bapak menghuni wad sehingga hari Rabu. Bukan setakat scope, bapak buat scan, ultrasound, drip antibiotik, air dan darah bersilih ganti.

Memang sakit bapak perlu penjagaan rapi, perlu minum air yang banyak untuk elakkan kering, perlu makanan seimbang, kurangkan nasi, makan makanan lembut dan kurangkan cili.

Ubat-ubatan bapak bertambah namun itu tak merisaukan sebab bapak mudah dengan ubat cuma aku bimbangkan soal makan minum yang acapkali gagal untuk bapak ikuti rutin yang ditetapkan.

Bapak dibenarkan pulang dengan kondisinya seperti biasa kembali. Alhamdulillah.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers