Monday 6 March 2017

Pelantikan Pengawas Amira di SKS1BK

Amira, semakin matang dan pemikiran melangkaui usia kanak-kanaknya. Keremajaannya semakin terserlah sebagaimana pelbagai tanggungjawab yang tergalas di bahunya. Anak sulung yang sentiasa serius, tak banyak bercakap berbanding adik-adiknya sebagaimana usianya sewaktu kecil. Memang, sedari darjah satu dia inginkan menjadi pengawas tetapi saban tahun dia tidak terpilih. Darjah tiga dan empat menjadi penolong ketua kelas, kemudian darjah lima barulah dia terpilih menjadi pengawas.


Dalam masa yang sama, pelbagai jawatan juga disandangnya, doktor muda, PRS, bola jaring... Dia menjadi idola kepada adik-adiknya. Masuk kelas pertama dan berjawatan seperti kakak... kakak pengawas yang garang dan... (perasan pula dia nanti).


Sebelum dilantik menjadi pengawas dia bertanya kepadaku, mohon keizinan dan minta pendapatku. Itu kemahuannya maka teruskanlah apa sahaja yang kakak suka. Kemudian awal tahun, diam-diam dalam segan dengan perlahan dia memaklumkan, shortlist daripada 10 orang untuk calon ketua pengawas sekolah. Mama marah tak, soalnya. Eh, tentulah tidak. Abah pun tak, malah kami tidak kisah apa sahaja pilihannya asalkan ia memberi manfaat dan tidak terasa terbeban.


Amira bimbang sekiranya aku menghalang hasrat tersebut lantaran keluhannya yang seringkali berkata letih, banyak tugasan selain homework yang pelbagai. Minggu berikutnya Amira maklumkan lagi dia shortlist bersama empat orang pelajar lain berhadapan guru besar dan PK HEM. Jawabku, terserah pada kakak, jika kakak merasakan mampu untuk menjawat jawatan itu, bersedia laksanakan amanah dari guru-guru tanpa abaikan pelajaran, lakukanlah. Tiada halangan dari mama dan abah kerana kakak yang akan lakukan semuanya. Jangan rasa tertekan dengan apa-apa yang ada sebaliknya anggap ia sebagai anugerah atas usaha dan kesungguhan yang kakak lakukan.


Ya, Amira dilantik sebagai penolong ketua pengawas SKS1BK dengan acara watikah pelantikan berlangsung meriah. Tahniah kakak, tugas besar dalam usia menjengah remaja yang tentunya banyak tanggungjawab perlu ditunaikan. Lakukanlah dengan sepenuh keikhlasan agar hasilnya bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada orang lain tetapi yang lebih utama mendapat keredhaan dan pahala dari Allah SWT.


Kakak, belajar itu adalah satu tanggungjawab, bukan untuk mama dan abah atau guru semata-mata, atau untuk ilmu di masa hadapan tetapi juga tuntutan agama sebagai insan yang mulia di sisi-Nya. Jawatan pula adalah satu amanah, kepercayaan daripada mereka yang melantik atas kebolehan dan keupayaan kakak melaksanakan tugasan. Lakukanlah kerana Allah SWT, ketepikanlah kepentingan diri dengan buatlah pertimbangan yang terbaik untuk pelajar-pelajar yang ramai, maka insya-Allah hasilnya akan membahagiakan semua. Keep it up my dear, Amira. Kakak sentiasa membuat mama dan abah bangga...







No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers