Thursday 9 March 2017

Bapak tak sihat lagi

Bapak... keuzurannya semakin bertambah. Kekerapan untuk dia merasai sihat semakin berkurang kerana saban hari akan ada sahaja kesakitan yang dirasainya. Biasanya bapak akan sakit perut, itu memang asas sebab bapak ada ulser perut yang kronik. Perlukan penjagaan rapi dalam pemakanan dengan kuantiti dan masa juga amat dititikberatkan.

Allahuakhbar. Semoga Allah memberi keberkatan atas kelanjutan usia bapak. Berhadapan dengan hari-hari tanpa apa-apa aktiviti selain rutin pagi menunggu petang, berlalu malam menjengah siang. Setiap waktu ditunggu, setiap detik dinanti, masa berlalu bersama kenangan lampau terimbas. 


Kelibat setiap anggota keluarga diperhati, mata meninjau sekitar melihat sesiapa yang ada. Memandang ke luar, di laman rumah, menggamit bayangan agar ada yang bertandang walaupun tahu adakalanya kehadiran itu sukar dimengertikan. Sesekali dengus nafas keluar resah, sambil menyebut kalimah Allahuakhbar. Entah, apakah yang ada dalam pemikiran bapak, sukar sungguh untuk diselami selain memohon pengertian pada kehidupan anak-anak yang semakin merumitkan. 

Wajah tua penuh kedut tanpa dapat dikira... keampunan dipohonkan pada bapak apabila diri menyimpang dari asal tujuan. Pohon pada bapak, doakanlah anak-anak bapak semuanya, anak-anak bapak mahukan restu dan keredhaan dari bapak... mohon pengertian tanpa sebarang persoalan. Jawab bapak, tiap kali dalam solatnya pasti anak-anak didoakan

Sememangnya bapak perlukan limpahan kasih sayang dan tuntutan perhatian yang bukan sedikit. Ketuaan bapak berdepan dengan keuzuran menggamit rasa apatah lagi dengan ketiadaan teman bicara sebagaimana arwah emak ada dahulu.

Anak-anak bapak pun perlukan pengertian dari bapak... masing-masing juga ada pelbagai rutin. Bukan soal kerjaya semata-mata tetapi juga ada yang berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan. Soal keluarga tidak perlu diambil kira, anak-anak yang kecil memang juga ada kerumitannya tetapi perhatian pada bapak enggan pernah diketepikan.

Antara kami adik beradik, ada pasangannya yang uzur lantaran darah tinggi, ada yang gout, sakit pinggang selain anak-anak juga yang ada pelbagai. 

Semoga dipermudahkan segala kerumitan, diringankan segala bebanan dan diangkat kehidupan kami ke tingkat yang lebih baik dari sehari ke sehari. Hanya pada-Mu Ya Ilahi untuk keredhaan kami semua....

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers