Friday 31 March 2017

Doa Orang Tua...


Seorang ibu dan bapa mampu membesarkan sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak tidak mungkin mampu untuk membalas jasa sepenuhnya bagi menjaga seorang tua yang uzur. Sebagai ibu bapa, tentunya apa sahaja kemahuan anak-anak akan cuba untuk ditunaikan namun sebagai anak adakah mungkin menzahirkan impian seorang tua yang semakin uzur?

Sesiapa sahaja yang tidak pernah menjaga orang tua tidak akan boleh memahami kerenah dan keadaan orang tua lantas janganlah mudah berlepas kata atau menuding jari pada anak-anak sekiranya gagal menuruti permintaan orang tua kerana tentunya akan ada kewajaran atas alasan yang diberikan. Anak-anak juga tidak mungkin mahu menghampakan permintaan orang tua namun apa-apa sahaja penolakan tentunya dibuat bersebab.

Saturday 11 March 2017

Hari Lahir Ameer Sembilan Tahun

Ameer yang begitu 'banyak akal'. Ada saja perangainya yang mencuit hati, suka bersenda, gemar mengusik, mengacah dan 'lembut hati'. 7 Mac 2017, untuk hari lahirnya, dia begitu teruja. Tiap malam, dia akan memberi tahu adiknya, 'esok hari jadi abang...' Hari-hari hari jadi dia seorang, kerana baginya hari-hari adalah istimewa. 

Sambutan dibuat pada Sabtu, tetapi hanya kami sekeluarga. Permintaan Ameer untuk hari lahirnya mahukan kek coklat dan hadiah 'hot wheels'. Juga mahukan abah masak chicken chop. Aku minta Ameer sendiri membancuh kek coklat yang dimahukannya. Dia rajin ke dapur, bertanya itu ini, sukarela membantu dan banyak pula omelannya. 


Thursday 9 March 2017

Bapak tak sihat lagi

Bapak... keuzurannya semakin bertambah. Kekerapan untuk dia merasai sihat semakin berkurang kerana saban hari akan ada sahaja kesakitan yang dirasainya. Biasanya bapak akan sakit perut, itu memang asas sebab bapak ada ulser perut yang kronik. Perlukan penjagaan rapi dalam pemakanan dengan kuantiti dan masa juga amat dititikberatkan.

Allahuakhbar. Semoga Allah memberi keberkatan atas kelanjutan usia bapak. Berhadapan dengan hari-hari tanpa apa-apa aktiviti selain rutin pagi menunggu petang, berlalu malam menjengah siang. Setiap waktu ditunggu, setiap detik dinanti, masa berlalu bersama kenangan lampau terimbas. 

Monday 6 March 2017

Pelantikan Pengawas Amira di SKS1BK

Amira, semakin matang dan pemikiran melangkaui usia kanak-kanaknya. Keremajaannya semakin terserlah sebagaimana pelbagai tanggungjawab yang tergalas di bahunya. Anak sulung yang sentiasa serius, tak banyak bercakap berbanding adik-adiknya sebagaimana usianya sewaktu kecil. Memang, sedari darjah satu dia inginkan menjadi pengawas tetapi saban tahun dia tidak terpilih. Darjah tiga dan empat menjadi penolong ketua kelas, kemudian darjah lima barulah dia terpilih menjadi pengawas.


Dalam masa yang sama, pelbagai jawatan juga disandangnya, doktor muda, PRS, bola jaring... Dia menjadi idola kepada adik-adiknya. Masuk kelas pertama dan berjawatan seperti kakak... kakak pengawas yang garang dan... (perasan pula dia nanti).

Sunday 5 March 2017

Sahabat Selamanya... Sentiasa Di Hati (Untuk Classmate 5A3)


 Apakah makna seorang sahabat? Perlukah dia sentiasa ada di sisi atau mereka yang sentiasa mengisi ruang hati. Bagi aku, erti seorang sahabat itu terlalu besar, hadir dalam diri, mencanai sanubari dan kemudian meninggalkan memori yang terus sebati dalam diri. Sahabat bukan bermakna sentiasa ada di depan mata, bukan juga bererti sentiasa bersama sepanjang masa sebaliknya, sahabat adalah mereka yang sentiasa di hati, saling mengingati dengan doa tulus dikirimkan tanpa perlu dimaklumkan pada sesiapa waima empunya diri sekalipun.

Dalam meniti usia dewasa kini, tentunya alam remaja adalah yang terindah apatah lagi bersama para sahabat di alam persekolahan. Sewaktu sekolah menengah, rakan-rakan sekelas menjadi penceria harian, khususnya 5A3. Rasanya aku akrab dengan semua rakan-rakan dalam kelasku, apatah lagi berjawatan ketua tingkatan hasil lantikan dari guru kelas Puan Zabariah. Rakan-rakan pula sentiasa memberi sokongan dan kerjasama.

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers