Sunday 1 January 2017

Tahun Baru 2017

Selamat datang tahun 2017, meninggalkan tahun 2016 sebagai memori. Semalam yang berlalu amat pantas dengan pelbagai cerita suka-duka, perjalanan tanpa terasa namun yang tinggal kemudiannya hanya kenangan pengimbas masa. Betapa, terbuainya kita dalam kerenah perjalanan kemanusiaan, menjadikan rutin harian sebagai penentu dalam kehiduan yang kemudiannya banyak rencana terlerai begitu sahaja.

Mengimbas masa-masa semalam sepanjang 2016, apakah yang telah aku lakukan? Keseluruhan masa dan tumpuanku adalah untuk keluarga, bersama anak-anak yang menuntut perhatian terutamanya si bongsu, Ammar Farish. Alhamdulillah, aku dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada mereka. Ammar Farish dapat penyusuan penuh susu badan, tidak pernah berenggang dengan aku malah aku tidak pernah ke luar kota atas urusan kerja demi anak-anakku kali ini.

Dalam kerjaya, memang ada turun naiknya, ada duka ceria dan ada banyak cabaran yang adakalanya terasa juga namun semuanya aku kembalikan kepada Ilahi, ketentuan dari-Nya atas segala apa yang berlaku. Alhamdulillah, biarpun sesibuk mana, hubungan sesama rakan perlu tetap terpelihara. Ingatan bahawa rezeki dari Allah itu bukan hanya dalam bentuk wang semata-mata tetapi nilai kerja dan kualiti yang ditumpahkan juga adalah rezeki dari-Nya.

Tingkat kehidupan, usia yang bertambah dan kematangan perlulah sealiran dengan apa yang ada di sekelilingku.

Keazaman untuk 2017, tiada apa yang mahu aku laksanakan selain daripada komitmen sepenuhnya kepada empat orang anak-anakku, Amira, Ameer, Afrina dan Ammar. Mereka penguat semangat untuk sebuah keluarga yang sederhana. InsyaAllah.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers