Tuesday 3 January 2017

Musim persekolahan 2017, Afrina Darjah Satu

Sesi persekolahan 2017 bermula dengan anak-anak begitu semangat untuk memulakan hari yang baru. Bagi Amira yang bakal menduduki darjah enam, ini adalah tahun terakhir baginya di alam sekolah rendah, nikmatilah sepenuhnya dengan azam yang dia sendiri sematkan. Untuk Ameer, dia lebih tak sabar untuk berjumpa dengan kawan-kawannya. Itulah tujuan dia mahu bersekolah. Dalam usia sembilan tahun, kenakalannya terserlah, banyak mulut, riuh satu rumah dengan suaranya yang gemar bersenda dan mengusik.

Untuk Afrina, pertama kali menjejak alam persekolahan yang sebenar, meninggalkan dunia tadika dan menyertai kakak serta abangnya di SKS1BK.  Amira sesi pagi sementara Nina dan Ameer di sesi petang. Nina lebih kepada rasa risau, bimbang tidak ada kawan-kawan, namun kami yakinkan dia. Amira banyak mainkan peranan untuk adik-adiknya. Kematangannya dalam mengatur Ameer dan Nina sudah terserlah, malah Nina sendiri lebih gemar mendengar celoteh Amira berbanding Ameer yang lebih banyak bercanda.

Sesi pagi Nina dan Ameer di Kafa Al-Itqan. Aku menghantarnya sementara pulangnya Mr Hubby akan jemput. Sesi petang, hari pertama persekolahan Nina dibiarkan menaiki bas sekolah dengan abangnya. Ameer walaupun suka mengusik tetapi dia cukup mengambil berat tentang adiknya. Siap dipesannya pada Nina, "kalau ada sesiapa yang kacau adik bagi tau pada abang tau," katanya.

Aku meninjaunya di sekolah. Nina bersahaja. Walaupun masih tidak mempunyai rakan namun dia tidak resah. Memang Nina agak memilih untuk berkawan tetapi dia bukanlah seorang yang mudah menangis. Waktu rehat juga aku melihatnya, memerhatikannya yang ingin membeli makana. Sifatnya yang agak diam membuatkannya terkebelakang. Itulah, mama suruh bawa bekal tak mahu... Sudahnya kuasa veto dibuat... bekal mesti dibawa setiap hari. 

Nina juga ingin mengumpul duit, mahu macam kakak. Hari-hari kakak akan berbelanja hanya seringgit dan selebihnya disimpan kerana ada sesuatu yang diinginkannya pada hujung tahun nanti. Tak apalah. Nina tak mahu jadi macam abang, bekal habis duit pun habis... abang kata tak apalah...  


Apa-apa saja, Nina mahu macam kakak, nak pandai macam kakak, nak simpan duit macam kakak, nak masuk kelas no satu macam kaka, nak jadi pengawas macam kakak... kakak menjadi idola Nina untuk memulakan persekolahnnya, malah apa-apa pesanan kakak akan didengarnya. OKlah tu, Amira kan kakak....










No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers