Tuesday 24 January 2017

Muhasabah Diri Atas Setiap Apa Yang Terjadi - Syukur!

Betapa Allah SWT amat menyayangiku, memanggil aku kembali ke jalannya pada ketika aku alpa. Diberikan aku peringatan dengan ujian-ujian kecil. Diajarnya aku untuk mara ke hadapan dalam berdepan dugaan yang acapkali bila aku fikirkan kemudiannya entah dari mana kekuatan itu aku perolehi.

Allahuakbar.
Betapa saban hari pasti ada sahaja pengajaran untuk memurnikan keimananku pada-Nya.

Allahuakhbar.
Betapa Allah SWT terlalu menyayangiku dalam sedar atau dalam kelalaianku sendiri.


Allahuakhbar.
Betapa kerdilnya diri mengakui kebesaran-Nya mengurniakan selautan nikmat dalam sekelumit hiba yang dirasa.

Segala kepayahan, semua kesulitan, pelbagai keresahan, atas kelelahan yang dirasai kukembalikan kepada-Mu Ya Ilahi, lantas aku syukuri setiap yang ada untuk aku cicip hasilnya sebagai hirupan manisan bekalan dikemudiannya.

Semua yang ada di sekelilingku hari ini adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Memiliki keluarga, berumahtangga, bersuami, ada anak-anak, ada bapak bersamaku, ada kerjaya, ada kawan-kawan, ada macam-macam lagi... semuanya menuntunku untuk menjadi lebih baik menuju keredhaan-Mu.

Mereka inilah landasanku menuju hari pengakhiran kelak, dengan amalan kebaikan yang tentunya aku mahu laksanakan sepenuh keikhlasan tanpa balasan, kerana keikhlasan yang sebenar akan dikurniakan rahmat dari-Nya. Ya Ilahi, aku rindu-Mu...

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers