Monday 26 December 2016

Hari Keluarga Ibrahim di Pantai Merdeka

Balik kampung kali ini diisi dengan perancangan untuk Keluarga Ibrahim bercuti beramai-ramai ke Tanjung Dawai. Perancangan telah dibuat lebih awal. Dua buah homestay mengadap pandangan ke pantai ditempah. Niat utama adalah bagi mengeratkan silaturrahim antara keluarga melibatkan anak cucu Ibrahim setelah orang tua tiada lagi.

Tentunya ruang yang ada amat terbatas namun hubungan sesama adik-beradik perlu terus dipupuk apatah lagi dengan anak cucu yang ramai, maka inilah waktunya untuk mereka saling akrab sesama saudara. Itulah niat Mr Hubby. Memahami hati insani yang berkelana ke Ibu Kota, jauh dari sanak saudara dan adik beradik. Pulang ke desa, ibu ayah sudah tiada lagi untuk menanti. Barangkali terasa kosong, hanya memori menggamit perasaan menelusuri setiap ruang dengan gambaran keriuhan semasa hayat ibu ayah ada bersama. Betapa meriahnya sebuah kediaman dengan senda gurau bersama, sesekali tentunya ada suara yang meninggi menegur itu dan ini, namun selebihnya pasti gelak dan tawa ceria menjadi penyeri.


Mr Hubby seringkali rindukan desa kelahirannya, ingatannya kepada keluarga dan adik-beradik tidak pernah padam. Maka rencana untuk bersama-sama dalam satu keluarga besar atas nama percutian menjadi idaman. 

Percutian ini disertai Kak Mah, bang Ad, bang Leh, kak Chik, kak Pah, kak Jah dan kami sendiri. Mat dan Chaq tak turut serta kerana ada keuzuran. Kami tiba di homestay sekitar pukul 3.00 petang. Bekalan makanan dibuka. Kak Chik bawa bihun goreng, nasi dan masak lemak ayam, kak Pah bawa laksa, ada juga roti jala yang dibawa kak Lia. 

Anak-anak menghabiskan masa sepetang di pantai, bermandi-manda, bermain air dan berlarian. Waktu malam kami berbarbeque. Ada ayam, kambing dan hotdog. Sambil makan, masing-masing saling bercerita.

Hari kedua, masa santai berpiknik di Pantai Merdeka. Sementara anak-anak bermandian, yang lain bersantai di pondok yang ada.    

Inilah ruang yang ada, masa cuti digunakan sebagai kesempatan kepada anak-anak untuk saling akrab dengan saudara agar kelak, ikatan silaturrahim akan terus terjalin biarpun sesama kita sudah tiada lagi... Insya-Allah, ada niat untuk meneruskan percutian tapi dimana dan bila belum ditentukan lagi.














No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers