Saturday 12 November 2016

Bukit Sri Bintang Didaki

Pagi ini mendaki Bukit Sri Bintang yang terletak di kawasan tersembunyi di Ibu Kota. Ada rupanya bukit di sini untuk didaki. Kali ini aku menyertai team Mr Hubby mendaki bersama Ameer dan Afrina yang memang sentiasa bersemangat. Bukit Sri Bintang terletak berdekatan dengan Desa Park City, tapi jalan menuju ke bukit ini melalui kawasan perumahan di Segambut dan kemudian terus ke Taman Sri Bintang.

Awal pagi kami keluar dari rumah. Sebelum itu pastikan bersarapan dahulu agar perut tak kosong dan perancangan tak terganggu. Bekalan air kosong dan tuala untuk mengelap peluh dibawa bersama. Paling penting pakaian mestilah sesuai dengan perancangan untuk mendaki.

Kami sampai sekitar pukul 7.00 pagi. Kereta diletakkan dibahu jalan. Kawasan sekitar perumahan elit yang tentunya aku hanya mampu memandang. Ada denai kecil untuk laluan ke pendakian di kawasan jalan tar. Sudah ada pengunjung yang turun maknanya awal pagi lagi dia sudah mendaki.


Ameer dan Nina di hadapan, melangkah dengan bersemangat mendahului yang lain. Laluan bertangga. Tiada lagi keaslian menjejak kaki pada binaan bertangga yang dibuat bagi memudahkan mana-mana pendaki menuju ke puncak. Ramai juga pengunjung yang datang, barangkali masyarakat setempat yang menjadikannnya kawasan riadah pada hujung minggu. Sambil berselisih, saling ramah bertegur sapa dengan ucapan good morning dilontar dan senyum ceria diberi. 


Perjalanan lancar, tidak banyak laluan mencabar sebaliknya pendakian berlangsung santai. Jalan berbukit, tak banyak yang curam, lebih bertangga dan landai. Pohon-pohon renek dan keaslian hutan bersatu. Mendaki sekitar 20 minit tanpa henti maka kami sampai ke puncak pertama. 

Puncak mengadap pandangan ke tengah Ibu Kota. Sayup pandangan mata melihat KLCC dan KL Tower yang gah dari jauh. Di puncaknya dipacakkan Jalur Gemilang, ada kerusi plastik, ada juga beberapa kemudahan riadah untuk exercise hasil kreativiti mereka yang melakukannya. 
Peluh halus memercik. Lelah masih belum tercabar. Berehat seketika, bergambar, mengelap peluh dan minum air sambil menunggu salah seorang hikers yang tertinggal di belakang. Mr Hubby menyusulnya sementara kami mengambil udara segar di sini. 

Kemudian kami menuruni sebelah kiri puncak tersebut untuk menujuk ke puncak kedua. Pandangan sayup ke bawah daripada laluan bertangga yang telah disedia. Sayup melihat kejauhan, menghijau lalang separas lutut menjadi laluan selepas bertangga. Pandangan di sebelah kanan pula adalah barisan rumah teres yang dipisahkan oleh pagar tinggi. Imaginasi Ameer terus teringatkan dinosaur dan Raptor dalam filem The Lost World Jurassic Park, memisahkan dunia dinosaur.

Kemudian kami mendaki dalam kawasan luas berlalang menghijau yang cantik segar meliuk lentok ditiup angin. Laluan bertangga lagi, sedikit berbatu dan kami sampai ke puncak yang kedua. Pandangan mengadap kawasan perumahan di Desa Pak City. Sayup ke bawah dengan deretan rumah teres menjadi santapan mata. Meninjau ke belakang, menghadap kehijauan laluan berlalang dengan udara pagi segar nyaman tanpa rasa tercemar. Puncak Bukit Sri Bintang telah ditakluki tanpa sebarang kerumitan.

Kami duduk sekejap, bersantai seketika dengan peluang bergambar diambil. Mengelap peluh yang memercik dan minum air yang di bawa. Ameer dan Afrina tak banyak bicara, lebih kepada memerhati dan melihat perlakuan orang di sekelilingnya. Jumlah perjalanan sepanjang pendakian sekitar 45 minit dengan langkah yang santai dan bersahaja.

Kemudian kami turun dengan melalui kawasan berbeza. Lebih kepada kawasan pokok-pokok getah dan ruang landai diredah. Juga berlangsung dengan lancar. Dalam lingkungan kawasan perumahan masih ada kawasan berbukit yang dapat dijadikan ruang berekreasi bersama keluarga.

Bukit Sri Bintang ini amat sesuai untuk sesiapa yang baru nak belajar mendaki. Tidak banyak laluan mencabar, pendakian lebih kepada kawasan bertangga yang telah dibuat kepada orang ramai. Afrina pun boleh berkata, ini bukan mendaki tapi naik tangga... Tak apalah, lain kali kita mendaki kawasan lain pula!




   









No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers