Friday 30 September 2016

Menghuni Wad Lagi...

Setelah sekian lama bertahan, bapak menghuni wad lagi. Sejak bapak tinggal bersama aku memang bukan tak ada keuzurannya. Sebagaimana usia bapak yang dah lanjut maka tentunya kesihatan bapak juga semakin merosot. Adakala demam, kerap kali kata sakit perut, batuk-batuk dan ada juga sesak nafas. Ubat sudah menjadi kebiasaan untuk bapak. Mujur juga bapak tak kisah dengan ubat-ubatan. Ubat gastrik, ubat batuk dan panadol adalah tambahan kepada tujuh jenis ubatan lain yang bapak perlu ambil saban hari. 
Kali ini batuk bapak berpanjangan. Ubat batuk seakan tak jalan. Minyak yang disapu juga tak mampan. Panadol sudah sebati dengan bapak. Bapak mengah, nampak lesu dan tak tertahan lantas aku berteman Mr Hubby membawa bapak ke hospital ketika melewati tengah malam. Bapak tak tertahan sakitnya.

Pemeriksaan rapi dilakukan. Sesak nafas menyebabkan bapak ditempatkan di zon merah. Bantuan pernafasan diberi, namun doktor menyatakan oksigen bapak clear. Darah diambil, x-ray dibuat dan hasilnya memang bacaan tidak cantik. Paru-paru bapak memang sudah tidak elok. Walaupun bapak tidak pernah merokok namun hasil pemeriksaan doktor keadaannya seakan bapak merokok. Latar belakang dinilai dan sememangnya bapak bergaul dengan orang-orang yang merokok semasa mudanya, tambahan pula bapak bekerja di kawasan pembinaan yang terdedah dengan habuk dan kekotoran terampai. 


Sukar untuk batuk bapak hilang lantaran ada sedikit jangkitan kuman di paru-paru. Maka antibiotik diberikan untuk tempoh selama tujuh hari pengambilannya. Apatah lagi sejak  kebelakangan ini memang bapak kurang ambil air kosong. Mujur juga selera bapak pada makanan tidak patah namun perlu pemantauan. 

Bapak nampak selesa menghuni wad, anak-anak saling bergilir bersama bapak. Antara aku, abang Kamal, abang Bullah dan abang Hakim bergantian tanpa mengusik rutin harian masing-masing. Inilah khidmat kami pada bapak. 


Makan minum bapak perlukan perhatian, pergerakan bapak pun mesti berpatutan dengan kebimbangan melihat bapak yang lebih gemar berbaring seharian. Pakar terapi meminta bapak untuk bersenam saban pagi, sekurang-kurangnya lima minit latihan pernafasan, tangan kaki bergerak dengan kiraan ringkas agar aliran darah dapat berjalan lancar. 

Apa yang pasti keuzuran bapak juga banyak dipengaruhi usia yang semakin memanjat. Betapa bapak yang barangkali melewati pertengahan 80-an masih mampu berjalan sendiri, makan minum sendiri sedangkan ramai lagi pesakit lain yang jauh lebih muda darinya sudah pun melarat malah tidak mampu melakukan apa-apa. 

Semoga dengan baki usia antara kami yang masih ada ini akan memperuntukkan kebaktian yang ampuh untuk bapak dan semoga Allah SWT memberikan keberkatan kepada kami - pada bapak, pada aku dan anak-anaknya yang lain. Allahualhbar!   

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers