Sunday 3 July 2016

Buat Kuih Raya dan Nostalgia lalu...

Dah lama tak buat kuih raya. Pada zaman remaja tentunya ia adalah rutin apabila menjelangnya Aidilfitri. Begitu juga ketika alam kanak-kanak dahulu. Kini Amira amat teruja untuk membuat kuih raya. Permintaannya untuk buat kuih raya sendiri. Bolehkan mama... Mana mampu aku menolak permintaan anak apatah lagi ia sememangnya sesuatu yang aku juga rindui. Momen indah bersama-sama arwah mak pastinya bermain di mata. Betapa aku rindukan arwah pada setiap saat, lagi-lagi di penghujung Ramadan ini.


Dulu arwah mak mesti buat kuih sendiri. Kuih-kuih tradisional yang akan menjadi sajian mak setiap kali Aidilfitri. Penuh meja dengan makanan dari air tangan arwah mak. Ada rempeyek kacang dhal, bipang, kuih bijan, kuih gunting, kuih cili-cili (betul ke namanya?), kuih layang-layang (kuih tiram), bahulu - aduhai pastinya berpeluh menghabiskan pukulan 30 biji telur yang kemudiannya dibakar menggunakan kayu api. Mak juga buat tapai, kalau ada ubi - tapai ubilah, tak pun tapai pulut hitam. Aku tidak akan dapat keluar bermain apabila membuat kuih raya kerana aku perlu menolong mak. Mahu tak mahu aku buat juga. Merajuk sekalipun tetap juga aku laksanakan. Sudahlah emak kalau buat kuih bukan sikit-sikit, banyak betul sebab rumah kami selalunya ramai tetamu.

Kemudian apabila aku meniti usia remaja, emak sudah tak kuat maka aku banyak mengganti emak. Aku tentunya lebih tertumpu pada kuih-kuih moden. Tat gulung, biskut mazola, chip coklat, biskut kelapa, almond london. Malah, almond london menjadi sejarahku ketika usiaku 21 tahun, tatkala membuat biskut inilah arwah abang Daili datang dan itulah kali terakhir aku menatap wajahnya sebelum dia terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya dua hari sebelum Aidilfitri - 1999.

Arwah emak juga selalu berpesan, buat kuih biar lebih agar dapat diberikan pada adik-beradik sebalang seorang. Sama-sama merasa. Semua akan ada bahagiannya dan itulah yang aku lakukan saban tahun hingga kini untuk berkonsgi rezeki dengan sesiapa sahaja.Biarpun kemudiannya lebih kepada aku beli namun tetap ada peruntukan untuk aku agihkan. Pesanan mak sebati dalam diri. Selalulah memberi dan sama-samalah merasa apa yang ada.

Masa berlalu, aku terulit dengan kesibukan, anak-anak yang kecil dan menuntut perhatian selain tugasan ke sana ke sini yang aku rasakan amat melelahkan, lagi-lagi aku bergelar pelajar pada enam tahun yang lalu menjadikan minda turut terasa sesak. 

Kini, Amira meminta untuk membuat tat gulung dan kuih semprit. Aku ikutkan sahaja. Memang itulah antara kuih yang acapkali aku buat saban tahun yang lalu. Puteri dan Achik pun turut sama teruja. Sudahnya aku beli semua bahan yang ada. Amira semakin bersemangat. Dia sendiri yang mengadunnya. Pengalaman pertama bagi Amira untuk membuat kuih raya di rumah sendiri. Walaupun dia bukanlah penggemar kuih raya tetapi keterujaannya membuat aku ceria.    

Sudahnya, kami mampu siapkan bukan hanya tat gulung dan semprit tetapi juga tat bunga, suji arab dan coklat chip. Ini resepi semprit dan coklat chip yang aku minta dari Pipah. 








Coklat chip
200gm mentega
50gm gula kastor
100gm gula perang
1 sudu esen vanilla
1 biji telur
230gm tepung gandum
1 sudu teh  baking powder
1 sudu teh baking soda
10gm serbuk koko
80gm kacang walnut
140gm coklat chip
50gm susu tepung

-pukul gula,gula perang dan mentega (gebu)
-masukkan vanilla dan telur.
-masukkan tepung gandum yg diayak bersama baking soda,serbuk koko,dan susu tepung.
-masukkan kacang walnut dan coklat chip


Semperit
2 cawan tepung gandum.
1 cawan tepung kastard.1\2 cawan tepung ubi.
1 cawan gula halus.
1 cawan marjerin.
2 biji kuning telur.
1 camca teh esen vanilla.

- pukul marjerin + gula (kembang)
- masukkan kuning telur (sebati)
- masukkan esen vanilla
- masukkan tepung yg diayak bersama
- terap \ acuan dahlia


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers