Saturday 4 June 2016

Kata Bapak...

Hari-hari rutin bapak sama saja, pagi menunggu cerah, menanti senja, berlalu malam, menjengah siang... masa berputar dengan hal-hal harian yang diulang silih berganti. Keutamaan adalah pada kesihatan bapak yang perlu sentiasa dipantau rapi.

Kata bapak...
badan bapak sakit-sakit
belakang bapak sengal-sengal
sendi bapak rasa kebas
bahu selalu terasa berat


Apa yang mampu aku lakukan,
ambil minyak sapu belakang bapak
urut perlahan sambil menekan dibahu dan belikatnya
minta bapak supaya tidak terlalu banyak berbaring
barangkali kerana bapak tidak banyak bergerak
darah tak berjalan dan otot-otot mula kejang
lagi pula bapakkan dah makin berusia.  

Kata bapak...
mata bapak dah makin kabur
melihat ke hadapan hanya nampak kelibat tanpa wajah
tahu ada yang datang tapi rupa tak jelas kelihatan
kadang terasa sakit, ada juga rasa gatal
mata berair dan sesekali ada juga perit. 

Apalah daya yang mampu dibuat.
Ubat mata telah dibelikan
Dititik pagi dan malam agar sakit berkurangan. 
Pujuk pada bapak, 
usia makin lanjut dan penglihatan juga makin kurang
Lumrah insan pada mereka yang seusia bapak. 

Kata bapak...
telinga bapak sudah tak dengar
bercakap perlu diulang berkali-kali
bersuara perlu kuat agar didengar dengan jelas dan difahami
sesekali ada juga rasa sakitnya.

Apa lagi yang boleh dibuat.
Dibeli juga ubat titik untuk telinga
dibersihkan pula sebagai usaha agar kesakitan tiada
Cakap pada bapak,
usia bapak dah lanjut dan pendengaran semakin surut
bapak kan dah makin berusia.

Kata bapak...
badan bapak dah makin tak larat
sesekali nak melangkah pun takut rebah
adakala kuat dan kadang-kadang tidak
Nak berdiri perlu perlahan
nak berjalan pun kena seimbangkan diri dulu.

Apalah yang mampu nak dikata lagi
ubat-ubatan bapak dipantau dengan teliti
Makan minum bapak  juga dijaga rapi
Namun usia yang lanjut tiada boleh dihalang pergi
bapak bukan muda lagi
minta bapak bersabar dan tabahkan hati
banyakkan ibadah, mohon pada Ilahi
kerana Dialah segalanya yang pasti

kata bapak kemudiannya...
alhamdulillah.... syukur Ya Allah,
masih kuat walaupun dah seusia ini
sedang ramai kawan-kawan bapak yang dah kembali
malah ada yang masih muda pun lebih uzur dari bapak.

Alhamdulillah...
bapak masih bersamaku
berada di rumahku
aku dapat menyediakan ubat-ubatan bapak
menitikkan ubat di mata dan telinganya
memotong kukunya dan memegang tangannya
terasa benar kulit bapak yang tidak lagi padat
kedut wajah bapak juga tidak lagi terkira
rambut bapak sudah memutih semuanya.
Syukur atas kesempatan yang aku peroleh
Inilah rezekiku, anugerah tidak ternilai yang ada dalam rumahku.
Semoga Allah SWT memberikan kesejahteraan kepadaku sekeluarga.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers