Thursday 30 June 2016

Indahnya Imarahkan Ramadan

Sepanjang Ramadan ini, saban minggu pastinya ada sahaja kemesraan apabila ramai yang berkumpul bersama-sama. Lantaran bapak tinggal bersama kami maka, rumah ini menjadi lokasi berkumpul. Permulaan Ramadan ada keluarga abang Hakim yang sememangnya acapkali datang, minggu seterusnya, ada keluarga abang Bullah, kemudian disertai dengan sahabat Mr Hubby, Cik Li bersama emaknya, ada juga Angah. Berselang kemudian, ada Pipah dan Syafik, kemudian abang Kamal yang tentunya menjadikan bapak lebih ceria.

Bagi anak-anak juga, mereka terasa amat akrab apabila berkumpul beramai-ramai. Soal apa yang nak dimasak dan apa yang nak dimakan tak jadi masalah kerana silaturrahim yang ada mengeratkan hubungan. Jarang juga untuk kami bertandang ke bazar Ramadan kerana kebiasaannya adalah memasak sendiri. Ada juga Mr Hubby masak sehinggakan anak-anak buat permintaan lagi terutamanya nasi ayam bersama ayam goreng berempah dan juga bihun sup utara. Ameer semangnya amat suka makan, tidak memilih dan tidak cerewet sebagaimana Amira.


Untuk bapak, kesihatannya memang menjadi perhatian. Pemakanan bapak dipantau sepenuhnya. Waktu berbuka minum jus kurma, tidak boleh makan berat atau ambil makanan dalam jumlah yang banyak. Lepas solat Isyak barulah bapak makan nasi, itu pun kuantitinya dikurangkan. Selera bapak tak ada masalah termasuklah waktu sahur maka aku terpaksa juga meneliti setiap apa yang bapak makan tetapi ada juga sekali dua bapak mengadu sakit perut. Ubat-ubatan bapak tidak pernah terlepas, air kosong pun bapak perlu minum juga. Badan bapak tak boleh kering kerana bapak memang perlukan air banyak. Ada juga bapak kata demam, mengah dan terasa lesu namun semuanya tidak melarat dan hanya beberapa waktu sahaja. Alhamdulillah bapak mampu melalui Ramadan ini dengan berpuasa penuh, juga berterawih sendirian apabila terasa sihat dan kuat.   

Syukur, rezeki kami sekeluarga dapat dikongsi bersama-sama sepanjang Ramadan ini, rumah kami sentiasa dikunjungi sanak-saudara dan kemeriahan ada di setiap ruang rumah kami. Semoga Ramadan ini akan memberikan keberkatan kepada kita semua untuk melalui hari-hari mendatang.








No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers