Monday 2 May 2016

Menawan Puncak Broga

Dah cukup lama tak mendaki bukit, masuk hutan serta menikmati pemandangan dari tempat tinggi. Rasanya kali terakhir adalah ketika zaman persekolahan, sebelum ambil STPM di kem Sungai Congkak. Kali ini sesuatu yang baru apabila aku dan Mr Hubby merancang ke Bukit Broga di Semenyih.

Cuti am sempena hari buruh dimanfaatkan dengan disertai Didi dan Syafik. Kami bertolak pukul 6.30 am dan perjalanan dari rumah hanya sekitar 30-40 minit saja. Tak susah untuk mencari Bukit Broga, banyak papan tanda dan tempatnya pun hanya di tepi jalan. Ada tempat letak kereta disediakan iaitu kawasan ladang kelapa sawit yang luas. Bayaran untuk parking RM3.

Dalam suasana pagi rupanya sudah ramai yang mendaki Bukit Broga. Tempat letak kenderaan pun sudah hampir memenuhi ruang yang disediakan. Ada rasa teruja untuk mendaki namun ada juga rasa cemas bimbang stamina out. Mujurlah saban minggu aku sudah mula berjogging sebaik sahaja lepas 60 hari aku bersalin. Kemudian setiap minggu aku tambahkan aktiviti untuk pastikan badan sentiasa bertenaga dengan naik turun tangga yang sememangnya tinggi di Taman Bukit Jalil. Sekarang genap empat bulan aku lepas bersalin maka Puncak Broga menjadi impian.

Perjalanan untuk memulakan pendakian memang merentas ladang kelapa sawit. Di kaki bukitnya ada beberapa gerai jualan, minuman, makanan dan alatan pendakian yang ringkas khususnya lampu suluh. Barangkali untuk pendaki yang datang sebelum subuh bagi menikmati terbitnya sinar mentari.

Walaupun kami hanya berempat tetapi orang yang ramai menjadikan kami ibarat satu rombongan pendakian bersama-sama. Laluan berbukit, curam dan sesekali landai, ada juga bertangga, tanah merah lembap dan ada juga lopak-lopak kecil sepanjang pendakian. Memang trek sudah disediakan namun perlu waspada kerana jalan lembap yang licin.

Sekitar 40 minit mendaki secara santai, sesekali berhenti untuk bergambar dan meninjau keadaan sekeliling maka kami sampai ke puncak. Peluh sudah membasahi wajah, baju juga sudah mulai lembap dek peluh yang menyerap, bau segar tumbuhan sekitar rasa menyegarkan. Nafas panjang di tarik dan dihembus perlahan. Tiupan udara lembut menyapu wajah. Puncak pertama ditawan... sudah ramai yang duduk melepas lelah, ada yang baring sambil memejamkan mata, ada yang berehat sambil berbual-bual namun lebih ramai yang mengambil gambar... mengabadikan pendakian dalam lensa sebagai bekalan pulang dan memori masa hadapan.

Kemudian kami ke puncak kedua... lebih tinggi, juga ramai orang. Ada pelbagai bangsa bukan hanya Melayu, Cina, India sahaja tetapi juga bangsa asing dari Timur Tengah dan juga kulit putih.

Puncak ketiga pula lebih sempit, lebih banyak batuan dan orang pun semakin berkurang. Di puncak keempat pula ada kumpulan pendaki yang lebih meriah. Ada nyanyian dan paluan kompang, lebih menarik bacaan selawat ke atas Nabi. Di setiap puncak kami tak lama, duduk santai sekejap kemudian beralih. Dari satu batu ke satu batu. Bergambar dan menikmati alam sekeliling. Yang dilihat lebih kepada kepadatan orang ramai yang semakin bertambah. Ada juga rasa rimas....

Di lereng pula terlihat bukit yang sudah ditarah, tiada lagi keaslian lantaran rakus nafsu manusia yang merencana untuk nilai harta dan wang.... Lebih dari itu ada juga bekas minuman dan sisa makanan yang ditinggalkan di tempat pendakian, ada yang dibuang dilaluan dan terselit di sebalik rimbunan lalang dan rumput hutan. Rasa kecewa dengan sikap sedemikian....

Puncak Broga telah ditawan namun puncaknya telah botak dengan tanah-tanah merah jelas kelihatan lantaran pokok-pokok menghijau telah hilang akibat pengunjung yang datang saban hari.

Kemudian kami menuruni Bukit Broga. Nyata, untuk turun lebih bahaya daripada mendaki naik ke puncak. Trek tanah merah yang lembap bertambah licin dengan jumlah pelawat yang ramai tak putus di laluan. Walaupun ada tali dan pemegang disediakan di beberapa kawasan curam namun ia masih tak dapat menjamin keselamatan. Hati-hati sentiasa perlu, waspada tempat berpijak dan tangan pantas berpaut dalam keadaan tertentu.

Ada juga seorang remaja yang tergelincir menggelongsor jatuh ke bawah terus menerjah seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun.... Mujur tersangkut pada batuan yang besar, jika tidak entahlah.... Kasihan kanak-kanak itu, terkejut barangkali... menangis dia dan tangannya terseliuh. Inilah akibat terlalu galak, nak cepat turun sambil bergurau-senda maka natijahnya orang lain jadi mangsa.

Fuhhh! Kembali sampai di kaki gunung terasa lega dan puas. Lega dapat melunaskan impian sambil mencairkan lemak-lemak di badan, puas dapat juga mencabar diri dengan menikmati alam sekitar. Insya-Allah ada perancangan untuk kembali mendaki bersama anak-anak lain kali....



 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers