Tuesday 3 May 2016

Amira Bersama Rheumatic Fever

Hari ini Amira perlu ambil suntikan susulan bulanan untuk rheumatic fever yang dihadapinya. Memang telah menjadi rutin bulanan untuk berkunjung ke Klinik Kesihatan di Putrajaya. Sesi petang diambil memandangkan keutamaan bersekolah dibuat untuk sesi pagi sementara sekolah Kafa dikorbankan untuk ini. Telah lebih dua tahun Amira mendapatkan suntikan di klinik ini maka rutin pemeriksaan saban bulan sudah sedia maklum.

Memang perawatan untuk sesi petang lebih lancar berbanding waktu pagi yang lebih ramai pesakit dari pelbagai peringkat usia melakukan pemeriksaan. Ambil nombor, duduk seketika untuk pendaftaran kemudian terus ke bahagian farmasi bagi mendapatkan ubat berbentuk serbuk di dalam botol kecil yang dinamakan benzathine penicillin. Seterusnya ke bilik prosedur, ubat dibancuh dan suntikan dibuat dengan segera kerana ubat tersebut akan beku jika lambat dicucuk. Dua kali sebelum ini Amira pernah terpaksa mengulang untuk dicucuk lantaran kegagalan petugas untuk bertindak pantas namun sekarang tidak lagi. Petugas yang ada pun telah maklum berkaitan perawatan Amira dan akur dengan sikap gadis ini yang begitu takut dengan suntikan.

Tiga kali aku gagal menemani Amira sebelum ini lantaran berpantang dan juga tuntutan kerja namun Mr Hubby sentiasa bersamanya. Amira bukan lagi budak cengeng yang akan menjerit, meronta dan menangis apabila nak dicucuk. Pernah juga hingga lari ke bawah katil. Sekarang tidak lagi, dia semakin matang.... Tempoh dua tahun dengan puluhan kali kunjungan dibuat dia seakan pasrah, redha dengan ketentuan yang tertulis dan bersyukur atas ubatan yang ada untuk penyakitnya. Itulah yang sentiasa aku tanamkan, bersyukur atas setiap apa yang ada, musibah juga satu rezeki, penyakit juga satu anugerah malah menjadi pengikat kasih antara kami dalam keluarga.

Amira masih lagi mahu memeluk erat dalam berdepan suntikan di pembaringan namun kali ini bukan tubuhku sebaliknya pinggang Mr Hubby yang dirangkul kemas. Erat tangannya berpaut kejap menahan suntikan yang menyakitkan. Diakui sendiri oleh petugas dan juga doktor yang merawatnya kerana ubat tersebut memang amat sakit. Amira kuat, seraplah kekuatan tubuh abah dalam dirinya agar dapat terus tabah menempuh dugaan. Genggaman erat tangan Amira dan abah bersatu, enggan dilepas seakan ngalirkan rasa perit untuk dikongsi bersama. Betapa besarnya dugaan untuk gadis seusia ini bagi mengharungi kesakitan untuk satu suntikan setiap 28 hari tanpa gagal. Namun bagi aku dan Mr Hubby, antara kami tidak pernah mengeluh bagi merawat Amira, juga memastikan keselesaannya.

Sesungguhnya kebimbangan untuk penyakitnya berulang sebagaimana serangan yang berlaku Februari dua tahun lalu tetap ada. Untuk bulan ini sahaja, sudah dua kali Amira mengadu sakit. Sekali sakit di belikat belakangnya dan kali kedua di bahagian kakinya. Aku tenangkan Amira dengan perhatian diberikan kepadanya, barangkali dia banyak berjalan selepas berkunjung ke Pesta Buku bersama rombongan sekolahnya atau mungkin tersalah tidur. Aku picit-picit tempat yang sakit, sapu minyak angin dan gososk perlahan. Semoga kesakitan lalu tidak berulang kembali dan Allah SWT terus kurniakan kesejahteraan untuk anak-anakku dan keluargaku.









 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers