Tuesday 31 May 2016

Bercuti Di Port Dickson

Cuti sekolah bermula. Kemana nak pergi? Kali ini perancangan bercuti ke tempat yang dekat dan tidak melibatkan perbelanjaan yang banyak. Terdekat ialah Port Dickson. Apa yang penting adalah kebersamaan untuk membawa anak-anak semasa cuti persekolahan dan juga membawa bapak bertukar angin. Bapak pada mulanya seakan keberatan, tetapi pujukan kami dan memandangkan semua sekali yang pergi maka dia tiada pilihan. Kali ini percutian dengan abang Hakim sekeluarga dan juga Syafik. Abang Bullah tak dapat bersama sebab ada urusan kerja, lagi pula Zila ada kelas di sekolahnya.

Monday 30 May 2016

Menyapa Bukit Batu Putih, Port Dickson

Percutian ke Port Dickson diisi dengan perancangan ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Ia terletak bersebelahan dengan Ilham Resort. Biarpun sudah beberapa kali bercuti ke Port Dickson dan juga bermalam di Ilham tetapi tidak pula kami pernah meninjau hutan rekreasi terbabit. Kali ini aku bersama Mr Hubby, Didi dan Syafik berkereta dari tempat penginapan kami, perjalanan cuma dalam 10 minit sahaja. Pertama kali nak menjelajah ke hutan lipur ini maka tentunya tak tahu apa-apa, juga prosedurnya.

Kami sampai sekitar pukul 7.00 pagi. Masih awal. Pagar ke hutan rekreasi masih bertutup rapat. Ada pondok untuk kaunter bayaran disediakan. RM1 untuk setiap pengunjung. Memandangkan hari bekerja, tak ramai yang datang. Kami agak buntu nak memulakan dimana.

Sunday 15 May 2016

Manfaat Laman Kecil Jadi Taman

Di hadapan rumah ada taman kecil. Biarpun laman yang ada tidak luas tetapi Mr Hubby manfaatkan keseluruhan ruang yang ada untuk tanaman dan beberapa haiwan peliharaannya. Pelbagai tumbuhan menghijau ditanam menghiasi semua ruang. Ada juga tanaman berbunga seperti bunga ros, bunga melur, pokok pukul sembilan dan beberapa bunga-bunga kecil lain. Semuanya hasil tangan Mr Hubby yang memang amat akrab dengan tumbuhan. Di sudut bucu bersebelahan pintu ada kolam kecil, pancutan air memercikkan bunyian kecil disulami dengan kicauan beburung peliharaan Mr Hubby.

Sunday 8 May 2016

Bukit Broga Lagi

Mendaki bukit seakan telah menjadi satu hobi. Disamping dapat menyihatkan badan, dapat juga bermesra dengan alam. Puncak Broga didamba lagi. Kali ini aku dan Mr Hubby disertai oleh Didi, Puteri, Angah dan Along serta Intan (housemate Angah). Seperti biasa kami bertolak selepas subuh. Kami sampai dalam cahaya matahari pagi mula menyinar. Tidak ramai pengunjung sebagaimana kali pertama kami ke sini sebelum ini.

Tuesday 3 May 2016

Amira Bersama Rheumatic Fever

Hari ini Amira perlu ambil suntikan susulan bulanan untuk rheumatic fever yang dihadapinya. Memang telah menjadi rutin bulanan untuk berkunjung ke Klinik Kesihatan di Putrajaya. Sesi petang diambil memandangkan keutamaan bersekolah dibuat untuk sesi pagi sementara sekolah Kafa dikorbankan untuk ini. Telah lebih dua tahun Amira mendapatkan suntikan di klinik ini maka rutin pemeriksaan saban bulan sudah sedia maklum.

Memang perawatan untuk sesi petang lebih lancar berbanding waktu pagi yang lebih ramai pesakit dari pelbagai peringkat usia melakukan pemeriksaan. Ambil nombor, duduk seketika untuk pendaftaran kemudian terus ke bahagian farmasi bagi mendapatkan ubat berbentuk serbuk di dalam botol kecil yang dinamakan benzathine penicillin. Seterusnya ke bilik prosedur, ubat dibancuh dan suntikan dibuat dengan segera kerana ubat tersebut akan beku jika lambat dicucuk. Dua kali sebelum ini Amira pernah terpaksa mengulang untuk dicucuk lantaran kegagalan petugas untuk bertindak pantas namun sekarang tidak lagi. Petugas yang ada pun telah maklum berkaitan perawatan Amira dan akur dengan sikap gadis ini yang begitu takut dengan suntikan.

Monday 2 May 2016

Menawan Puncak Broga

Dah cukup lama tak mendaki bukit, masuk hutan serta menikmati pemandangan dari tempat tinggi. Rasanya kali terakhir adalah ketika zaman persekolahan, sebelum ambil STPM di kem Sungai Congkak. Kali ini sesuatu yang baru apabila aku dan Mr Hubby merancang ke Bukit Broga di Semenyih.

Cuti am sempena hari buruh dimanfaatkan dengan disertai Didi dan Syafik. Kami bertolak pukul 6.30 am dan perjalanan dari rumah hanya sekitar 30-40 minit saja. Tak susah untuk mencari Bukit Broga, banyak papan tanda dan tempatnya pun hanya di tepi jalan. Ada tempat letak kereta disediakan iaitu kawasan ladang kelapa sawit yang luas. Bayaran untuk parking RM3.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers