Thursday 7 April 2016

Hati Terluka, Muhasabahlah Pada Diri

Apakah yang kita lakukan selama ini?
Apakah yang kita mahukan dalam hidup ini?
Apakah yang kita harapkan dari orang-orang sekeliling kita?
Apakah setiap hari itu tetap ada untuk kita?

Persoalan demi persoalan adalah jawapan kepada apa yang kita alami. Bukan menuntut kesempurnaan namun memujuk hati untuk sentiasa sabar. Sabar itu kunci dari iman yang sebenar walaupun realitinya setakat mana kesabaran itu mampu dihamparkan. Tabahlah wahai hati, pujuk diri kala terluka. Menilai nikmat yang melaut di depan mata dengan membandingkan kepada kelukaan sebesar kuman yang dirasa. Apalah sangat... pujuk pada hati lagi.

Bermuhasabah dengan mencermin diri adalah yang terbaik. Terluka barangkali tanpa sengaja yang terjadi akibat kealpaan diri. Maafkan sahaja dan teruskan mencari yang hakiki. Perkukuhkan semangat untuk sentiasa ikhlas, redha atas segala yang terjadi kerana sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah atas izin dari-Nya. Tidak akan gugur sehelai daun itu jika bukan atas perancangan-Nya maka apalah sangat hati yang terluka sedangkan banyak lagi rahmat lain boleh dirasai.

Benar, redha adalah yang terbaik kerana Allah SWT menjanjikan ketenangan pada insan yang sentiasa ikhlas berdepan dugaan. Positif menangani masalah dengan menjadikan-Nya sebagai kekuatan untuk berpaut tatkala hati benar-benar rapuh. Emosi terganggu, hati luluh dan air mata bertakung tanpa sedar - tatkala itu lidah terus menyebut Allahuakhbar - mengakui kewujudannya yang sentiasa menemani apabila diri rasa tak diperlukan.

Siapa teman bicara, siapa peneman setia, siapa tempat mendamba kasih? Sesungguhnya Dialah segalanya yang akan dapat mendengar dan membantu merawat hati lara untuk menceriakan suasana. Jangan tewas, pesan pada hati. Inilah bahagian yang telah diperuntukkan oleh-Nya kepada dirimu! Rasai dan nikmatilah setiap inci yang ada dengan ketakwaan tanpa henti. Ingatlah janji-janji-Nya yang sentiasa akan ditunaikan berbanding nilai manusia yang sentiasa terlupa. Allah ada untukku, untuk mendengar setiap omelanku, untuk menilai setiap pengorbananku, untuk merasai setiap keluhanku, Allah sentiasa ada untuk diriku.

Sudah, sudah, sudah... bukan pada kemaafan, jauh sekali penghargaan dari sesiapa namun pada keberkatan. Ya Ilahi, mohon pada-Mu jua kerana Kaulah segalanya. Bersihkan hati. Apa yang bakal dilakukan untuk hari ini, esok dan hari seterusnya segalanya adalah untuk keredhaan Ilahi. Biarkan semalam yang berlalu. Usirlah jauh-jauh kelukaan yang ada, pergilah derita, kesedihan enggan lagi dikedepankan.

Sudah, sudah, sudah... jangan berharap pada sesiapa selain usaha sendiri dengan keyakinan kepada Allah SWT. Maafkan dia, maafkan mereka, maafkan sesiapa sahaja kerana sedar diri sendiri turut alpa, sering terleka dan sentiasa lupa. Teruskan kehidupan hari ini dengan sewajarnya, kerana barangkali hanya tinggal hari ini sahaja. Jika hanya ada hari ini sahaja, lakukanlah dengan sebaiknya. Andai tiada lagi hari esok maka hari ini adalah segalanya. Tunaikanlah tanggungjawab yang tergalas, laksanakanlah amanah yang dipikul... juga dengan sebaiknya.

Hanya ada hari ini sahaja. Esok akan mati maka lakukan yang terbaik untuk hari ini. Pastikan kerja-kerja yang ada sentiasa siap tanpa tertangguh. Maafkanlah semua dengan harapan diri mendapat kemaafan juga. Didiklah anak-anak dengan yang terbaik. Amira, Ameer, Afrina dan Ammar adalah pakej lengkap yang diharapkan untuk menjadi pendamping kelak. Dengan didikan ini, andai esok sudah tiada maka merekalah yang menjadi harapanku untuk kiriman sepotong surah A-Fatihah. Justeru, lupakan hati yang terluka atau tersayat lumat hancur lebur sekalipun kerana dunia ini fana....

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers