Tuesday 26 April 2016

Bapak Bersamaku

Syukur Alhamdulillah, kesihatan bapak menunjukkan perkembangan yang positif. Badan bapak kembali cergas, langkah bapak juga sudah cerdas dan wajah bapak kembali ceria. Biarpun bapak masih lagi memerlukan saluran kencing tetapi secara keseluruhannya bapak sudah sihat. Bapak tak ada rasa sakit perut, tak ada batuk-batuk, gout pun tak bertandang malah demam sakit pening yang sebelum ini kerap bapak alami pun tak datang.

Sejak sebulan lalu bapak bersama-samaku, tinggal menjadi keluarga tetapku dan insya-Allah akan terus berada bersamaku hingga akhir hayatnya. Inilah peluang bagi aku untuk bersama bapak, dalam usianya yang lanjut, dikala penglihatannya semakin kabur, diwaktu deria pendengarannya sudah tidak jelas dan disaat tingkahnya perlukan perhatian. Syukur Mr Hubby banyak menyokongku, membantu mana yang perlu dan kata-katanya agar bapak terus tinggal bersama kami amat melegakan. Sememangnya sokongan suami akan mempermudahkan segala laluan lantaran keredhaan suami adalah restu Allah SWT.


Rutin bapak saban hari bermula waktu subuh dengan menunaikan solat dan kemudian berwirid panjang, mengaji atau berzikir di biliknya. Aku minta bapak untuk berjalan-jalan sebentar atau duduk ambil angin pagi di luar selepas itu, sesekali bapak lakukan juga. Kemudian bapak bersarapan. Bapak minum milo, lebih gemar makanan berat seperti nasi goreng, mee, bihun atau roti canai. Kemudian bapak akan duduk santai di sofa ruang tamu. Untuk makan tengahari dan makan malam bapak mahukan bubur nasi, perlu ada kuah dan lauk-pauk. Semuanya kak Hamda yang sediakan lantaran aku yang bekerja. Mujurlah dia ada bersama.

Bapak makan dengan berselera namun perlu ada pemantauan untuk pastikan bapak tak terlebih makan, tidak juga kurang dan makan tepat pada masanya. Jika makan terlebih, bapak akan mengah, nak bernafas pun rasa lelah dan sekiranya lambat makan pula, perutnya akan meragam. Antara waktu senggang pula, bapak mahu mengunyah maka aku sediakan kurma dan kismis, ada juga biskut kering dan roti. Mr Hubby lebih menggalakkan buah-buahan. Bapak suka makan pisang, betik, tembikai dan mangga. Antara buah-buahan tersebut silih berganti terhidang atas meja.

Saban petang, bapak akan mendengar radio sambil menunggu alunan azan Maghrib. Ada lagu-lagu nasyid berkumandang dan ada juga bacaan ayat suci dari radio yang dipasang kuat di bilik bapak. Selesai solat Maghrib barulah bapak makan malam dan kemudian bersolat Isyak.

Berkaitan ubat, banyak ubat-ubatan bapak. Ada ubat untuk cair darah, ubat untuk prostat, ubat kolestrol, ubat untuk lawas kencing, ubat untuk perut, ubat untuk tekanan darah tinggi ditambah dengan pelbagai vitamin termasuklah vitamin c, obimin dan vitamin b kompleks. Kalau dikira, dalam sehari lebih 10 biji bapak perlu makan. Ada yang dimakan waktu pagi, ada sebiji perlu diambil sebelum waktu makan, ada waktu malam dan ada dua biji dimakan sebelum tidur. Ada juga air garam yang perlu diambil tiga kali sehari setiap selepas makan, pagi, tengahari dan malam. Eloknya, bapak tak kisah berkaitan ubat-batan ini malah diambil tanpa paksa. Semuanya mengikut aturan yang disediakan. Dalam masa yang sama, bapak minum air dalam jumlah yang banyak. Itu sangat penting bagi memastikan tubuh bapak tak kering dan asid urik tak menghuni badan bapak yang tentunya akan mengundang gout. 

Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat-Nya kepada bapak dan keluarga kami agar dapat kami semua hidup sejahtera dan terus memanjatkan ibadah kepada Ilahi.


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers