Thursday 25 February 2016

Bapak 2 Minggu Menghuni Wad

Genap dua minggu bapak menghuni wad, kali ini memang paling panjang tempohnya. Sepanjang tempoh tersebut aku saban pagi akan ke hospital untuk bersama bapak sehinggalah lewat petang yang akan bergilir dengan abang Hakim dan abang Bullah. Cuma ketika hujung minggu abang Maili, abang Kamal dan kak Piah mengambil kesempatan menjaga bapak.

Bapak terkena jangkitan kuman pada paru-parunya dan kuman ini pula bukan calang-calang kerana jika tidak dirawat ia mampu membunuh. Kuman tersebut bukanlah kuman biasa sebaliknya hanya wujud di hospital-hospital, maka pelbagai soalan diajukan untuk meninjau kesihatan bapak.

Memang, Khamis sebelum bapak dimasukkan ke wad bapak ada berkunjung ke hospital untuk menukar tiub kencingnya. Barangkali ketika itulah bapak terkena jangkitan tersebut. Batuk bapak berlarutan dengan tiub oksigen dipasang sepanjang masa pada bapak. Tangan bapak dicucuk untuk menyalurkan antibiotik. Kena pula bapak kurang darah, kaki pula kena gout dan badan kering yang memerlukan banyak air dimasukkan.

Bapak perlu penjagaan rapi. Sesiapa sahaja yang menyentuh atau merawat bapak perlu membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan 'safercare plus' yang memang disediakan di tepi katil bapak. Untuk aku juga diingatkan apabila sampai di rumah agar terus mandi dan menukar pakaian sebelum menyentuh apa-apa sahaja dalam rumah khususnya anak-anak kecil. Bapak perlu dipastikan untuk sentiasa minum air kosong dalam jumlah yang banyak agar badannya tidak kering dan dapat 'clearkan' pelbagai penyakit yang bapak ada, antaranya badan kering, gout, buah pinggang dan juga sembelit. Bapak juga perlu makan tepat pada masanya agar ulser perutnya tidak timbul dengan jumlah pemakannannya juga perlu diambil kira.

Bukan itu sahaja, bapak perlu banyak bergerak, kalau boleh buat exercise saban pagi, perlu turun dari katil dan berjalan di kawasan sekitar.

Lebih dari itu, emosi bapak juga perlu dijaga agar proses perubatan tidak terganggu. Bapak dimasukkan ke wad kerana sesak nafas akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, menambah koleksi penyakit yang bapak hidapi iaitu gout, ulser perut, darah tinggi, kurang darah, garam dalam badan rendah, saluran kencing bengkak, buah pinggang sensitif....

Alhamdulillah, malam tadi bapak dapat pulang ke rumah setelah saban hari bapak meminta untuk balik. Semoga bapak kembali bertenaga dan dapat melalui rutin harian dengan lancar.




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers