Thursday 25 February 2016

Bapak 2 Minggu Menghuni Wad

Genap dua minggu bapak menghuni wad, kali ini memang paling panjang tempohnya. Sepanjang tempoh tersebut aku saban pagi akan ke hospital untuk bersama bapak sehinggalah lewat petang yang akan bergilir dengan abang Hakim dan abang Bullah. Cuma ketika hujung minggu abang Maili, abang Kamal dan kak Piah mengambil kesempatan menjaga bapak.

Bapak terkena jangkitan kuman pada paru-parunya dan kuman ini pula bukan calang-calang kerana jika tidak dirawat ia mampu membunuh. Kuman tersebut bukanlah kuman biasa sebaliknya hanya wujud di hospital-hospital, maka pelbagai soalan diajukan untuk meninjau kesihatan bapak.

Monday 15 February 2016

Bapak Di Hospital Serdang

Hari ini hari ke-47 aku lepas bersalin. Bapak menghuni wad lagi. Kali ini di Hospital Serdang. Sakit bapak bukan kerana perutnya, gastrik, saluran kencing terganggu atau sebagaimana biasa yang bapak alami. Bapak sesak nafas, tercungap-cungap dan payah benar untuk bernafas sebagaimana biasa. Tambah pula bapak batuk.

Kebetulan bapak ada di rumahku. Perancangan kami untuk bersama-sama dengan abang Hakim dan abang Bullah sekeluarga berbeku apatah lagi musim cuti sempena Tahun Baru Cina.

Keadaan bapak tidaklah kritikal lantas abang Hakim membawanya ke klinik sahaja. Namun doktor di klinik agak kalut dan terus menelefon ambulan berikutan tekanan darah bapak yang rendah dan pernafasan bapak agak payah. Jika diikutkan abang Hakim mahu bawa bapak terus ke Hospital Selayang memandangkan perawatan keseluruhannya sebelum ini ialah di sana namun doktor bertugas enggan ambil risiko. Hospital terdekat dari rumahku ialah Hospital Serdang maka bapak menghuni wad 7 di sini. Bertemankan Didi bapak berambulan ke Hospital Serdang.

Saturday 6 February 2016

Ammar Dah Botak

Ammar Farish botak kepala.... Proses biasa dengan mencukur kepala bayi agar rambut baru tumbuh dan kekotoran dari kelahiran dapat dibuang. Juga sebagaimana biasa anak-anak terdahulu, semuanya dilakukan oleh abang Hakim.

Proses membotakkan kepalanya juga mudah, tidak menangis walaupun ada juga rengekan kecil beberapa kali.

Friday 5 February 2016

Untuk Amira & Rheumaticnya

Suntikan susulan Amira untuk rheumatic masih berterusan, entah untuk kali yang keberapa puluh sudah aku tak kira, namun sudah memasuki tahun kedua.

Amira tabah, dia kuat walaupun diawal sakitnya dia terlalu takut pada ubatan dan suntikan. Memang masih ada lagi airmata menitis tiap kali dicucuk namun kerenahnya tidak sebagaimana di awal suntikan dibuat. 

Untuk suntikan kali ini, dia hanya bertemankan abah lantaran aku yang masih berpantang. Kali ketiga tanpa berteman aku sebagaimana bulan lalu yang tidak disertai kerana tugasan yang amat penting. Amira memahami walaupun pada April lalu aku perlu juga balik sekejap walaupun berada di Rompin lantaran permintaan Amira yang mahu aku ada bersama.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers