Friday, 1 January 2016

Tahun Baru 2016

Selamat menyambut kedatangan tahun baru 2016. Tentunya sepanjang tahun 2015 menjadi penilaian bagi berdepan dengan tahun baru. Bukan nilai usia yang jadi perhitungan namun pencapaian dan keputusan atas apa yang telah dilalui selama ini jadi pertimbangan.

Apabila aku menoleh ke belakang, menilik dan menyelidik kembali impian yang aku inginkan sesungguhnya terlalu besar kesyukuran yang aku panjatkan.

Awal tahun 2015 aku memanjatkan kesyukuran kerana mencapai impian menghuni kediaman sendiri setelah pelbagai urusan dan kerenah manusia membantutkan cita-cita namun yang pasti semuanya tidak mungkin tercapai tanpa izin Allah SWT. Usahalah sedaya mana pun namun jika Allah tidak mengizinkan maka tidak mungkin apa-apa keinginan akan jadi realiti....

Kemudian aku menganyam impian 2015 untuk melunaskan pengajian bagi menggengam ijazah Sarjana (Master) tanpa mengganggu kerjaya dan aktiviti harian dalam rumah tangga terutamanya urusan anak-anak. Alhamdulillah... dalam kesukaran Allah SWT beri laluan, dalam kepayahan masih dipermudahkan-Nya, dalam kerumitan tetap ada jalan... hampir-hampir juga patah semangat namun aku teguhkan kembali berdasarkan niat dan jati diri yang sentiasa tersemat. Aku berjaya juga....

... ada lagi satu impian yang memang telah dua tahun kebelakangan ini amat harapkan. Syukur... Allah SWT juga makbulkan doaku saban waktu, dalam solatku, dalam sujudku... Alhamdulillah, anugerah terindah tentunya kelahiran Ammar Farish di penghujung tahun 2015 setelah 40 minggu menghuni rahimku. Suatu nikmat yang sangat-sangat aku hargai, sihat di sepanjang kehamilan dan dipermudahkan saat-saat melahirkan. Apa lagi nikmat yang nak aku nafikan....
Untuk tahun 2016 ini... apa impian aku? Dalam keadaan aku yang masih berpantang tentunya tumpuan sepenuhnya aku fokuskan pada keluarga. Yang utama adalah kesihatan maka barulah aku boleh lihat keseluruhan keluargaku. Aku mesti sihat dan cergas, untuk ahli keluarga dan memastikan aktiviti harian juga lancar sepenuhnya. Anak-anak yang masih kecil perlukan perhatian, pembelajaran mereka mahukan tumpuan dan mereka mesti selesa setiap hari.
Untuk kerjaya, aku hanya akan mula bekerja Mac nanti maka biarlah masa berlalu dahulu kerana aku mahu sepenuh perhatian aku di awal tahun ini tertumpu untuk kesihatan dan kecergasan diri demi keluargaku. Jika aku sihat dan cergas maka tentunya aku akan dapat tumpukan perhatian pada keluarga. Menyusukan Ammar Farish sepenuhnya, menyelia pembelajaran Amira, Ameer dan Afrina dengan ransangan kata-kata berbeza berdasarkan usia mereka. Tentunya impian semua ibu yang akan meluangkan sepenuh masa bersama anak-anak maka inilah masanya bagi aku.

Semoga semua impian kita untuk kesejahteraan bersama keluarga akan tercapai dengan rahmat Allah SWT sentiasa mengiringi.... Allahakhbar!!!

No comments: