Sunday 29 November 2015

Bapak dan Kesihatannya


Keadaan kesihatan bapak semakin positif, walaupun tidak sesihat sebagaimana sebelum ini namun bapak sudah semakin kuat. Paling penting selera makan bapak sudah kembali, namun perlu sentiasa dikawal agar tidak kurang atau tidak terlebih dari sepatutnya. Lebih utama bapak sudah boleh menunaikan solat lima waktu walaupun dalam keadaan duduk. Tiub kencing masih menjadi peneman bapak kemana sahaja, tetapi yang pasti bapak sudah boleh bangun sendiri, duduk dan makan sendiri dengan berjalan ke meja makan.


Bapak masih perlukan perhatian sepenuhnya. Bapak masih mahukan teman atau sesiapa sahaja ada di sisinya tanpa ditinggal bersendirian. Sesekali bapak juga masih dilanda kesakitan. Jika kurang minum air, goutnya terus menyerang. Secara segera sakitnya datang kembali dan bapak tak tertahan menanggungnya. Bapak juga selalu sakit mata. Memang, peringkat seusia bapak sakit mata yang terasa berat dan panas ada melanda. Itu belum lagi kalau perut bapak angin dan kembung. Badan bapak juga sakit-sakit kerana banyak berbaring.

Bapak perlu banyak bergerak. Saban pagi bapak perlu lakukan fisioterapi sendiri sebagaimana yang telah diajar oleh pihak fisioterapi hospital. Secara mudahnya, bapak perlu bersenam, perlu bergerak ke sana ke sini dan tidak hanya berada di pembaringan.

Dalam keadaan begini, tentunya abang Hakim sekeluarga yang terlalu banyak berkorban. Cuti tahunannya sudah negatif, saban minggu tiada masa riadah bersama-sama anak-anak di luar, setiap malam meneman bapak yang tidak mahu keseorangan. Belum lagi dengan permintaan bapak dan pelbagai keluhan lain tentang anak-anaknya yang sentiasa sibuk.

Semoga bapak terus diberi kekuatan dan tabah dalam berdepan dengan keuzuran sementara bagi aku sebagai anak, sebaik mungkin akan cuba meluangkan masa untuk bersama bapak, menggantikan tugas abang Hakim sesekali yang tentunya juga perlu melawat keluarga mertuanya yang juga tidak sihat.


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers