Wednesday 7 October 2015

Keuzuran Bapak Bertambah

Dari sehari ke sehari, kesihatan bapak makin merosot. Wajah bapak makin cengkung, tubuhnya makin susut dan selera makannya juga terbantut. Bapak tak larat nak berdiri sendiri, berjalan pun tak mampu lagi tanpa dipapah.

Pemantauan untuk kesihatan bapak perlu dilakukan dengan rapi. Bapak perlu makan tepat pada masanya, tidak boleh lambat, tidak boleh banyak dan jangan pula kurang. Air kosong perlu sebanyak yang boleh agar badan bapak 'bersih'.

Jika bapak kurang minum air gout bapak datang bertandang, kakinya naik bengkak, sendinya sakit dan bisanya tak tertanggung; air kencing berwarna kuning dan tidak lawas yang boleh mengakibatkan buah pinggang bapak semakin negatif. Makan juga begitu, langsung tak boleh salah kerana perut bapak akan sakit, silap-silap boleh muntah.

Penyakit bapak juga dah bertambah, sekarang ada pula tekanan darah tinggi sedangkan selama ini bapak mempunyai tekanan darah rendah. Perubahan masa, peredaran zaman dan pertambahan usia menjadikan segalanya telah berbeza.

Apabila kesakitan bertandang, bapak tak boleh makan ubat tahan sakit kerana ia hanya akan merosakkan buah pinggang bapak yang dah memang terjejas. Maka apa yang dibuat jika tidak hanya menahan kesakitan atau jika teruk sekali sampai tak tertanggung perlulah dibawa ke hospital. Bapak tak boleh di bawa ke klinik biasa lagi, rawatan untuk bapak sepenuhnya dalam perhatian pakar di hospital. Kerana itu sudah jadi kebiasaan pada bapak ke hospital yang adakalanya hampir setiap hari.



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers