Sunday 18 October 2015

Inilah Harinya...

Lima tahun berlalu, akhirnya aku dapat capai impian untuk mengengam Ijazah Sarjana. Sungguh, keinginan ini amat sangat aku impikan. Bukan untuk penilaian kerjaya atau untuk kebanggaan diri sebaliknya ia adalah satu kepuasan yang tersendiri.

Sebagai insan yang lahir dalam keluarga susah tentunya kemahuan dalam mengubah asipirasi keluarga adalah satu-satunya yang diingini. Aku sedar... dalam dunia ini selain harta dan kekayaan maka ilmulah yang akan meninggikan taraf kehidupan seseorang. Untuk mengumpulkan wang berjuta tentunya aku tidak upaya namun aku yakin akan dapat mencapai melalui pertambahan ilmu. Insya-Allah sekiranya ada usaha semua itu dapat dicapai sempurna.


Sememangnya untuk melalui tempoh lima tahun ini bukan mudah... terasa perit apatah lagi dengan status sebagai isteri dan ibu yang berkerjaya sepenuh masa. Ini kemahuan aku sendiri maka tentunya aku tidak mahu rutin harian terganggu. Tugasan sebagai isteri, amanah pada anak-anak dan tanggungjawab di tempat kerja perlu aku lunaskan sebelum baki masa yang ada aku pergunakan untuk belajar. Aduhai... usah suarakan kelelahan jika ini impian sendiri. Apa pun aku tetap dahulukan keperluan keluarga khususnya anak-anak yang masih kecil dengan segalanya adalah atas izin Mr. Hubby dan keredhaannya. Lantaran itulah proses pembelajaran yang boleh mengambil masa dua tahun hanya tertunai selepas tempoh maksimum lima tahun. Alhamdulillah.

Inilah satu-satunya nilai yang dapat aku sajikan untuk anak-anakku, juga untuk para saudaraku agar terus bersemangat dalam mengubah penilaian orang luar terhadap keluarga kita. Kita bukan orang senang, dianggap pendatang di tanah sendiri, diketepikan dalam perhitungan tertentu hanya kerana tiada harta tidak kaya namun kita ada keupayaan, maka usahlah berhenti berusaha.

Namun begitu, kejayaan ini tidaklah untuk bermegah atau meninggi diri kerana aku sedar ilmu yang aku pelajari ini tidak sampai setitis pun dari selautan ilmu yang ada di dunia ini... Aku juga masih insan yang serba kekurangan dengan tumpuan utama aku adalah pada keluarga sebagai anugerah terindah.

Dalam keadaan berbadan dua, hamil tujuh bulan aku mencapai impian di pentas Dewan Tunku Canselor, UM aku menerima penganugerahan Sarjana Pengajian Penerbitan. Syukur Alhamdulillah.








No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers