Saturday 25 July 2015

Cerita Aidilfitri 2015/1436

Aidilfitri 2015 berbeza dengan tahun-tahun yang lalu. Kali ini aku dan Mr Hubby tidak buat banyak persediaan malah antara kami tiada baju Melayu atau baju kurung baru. Aku memahami apa yang Mr Hubby rasa apatah lagi kehilangan ayahanda tersayang dalam bulan Ramadan lalu. Bagi anak-anak juga, persediaan dilakukan pada saat-saat akhir. Semuanya beli pakaian siap di kedai. Mujurlah ada walaupun anak-anak sedikit cerewet. Perancangan untuk berhari raya juga seperti biasa tahun-tahun yang lalu iaitu di Gombak dan kemudiannya pulang ke Kedah.

1 Syawal
Sebagaimana kebiasaan sejak bergelar isteri, kami berhari raya di Gombak. Selesai solat Aidilfitri dan bersarapan, kami berkunjung ke pusara mak. Kali ini abang Hakim tak ikut bersama kerana demam. Bapak bersama kami, membaca surah Yassin dan doa untuk arwah mak. Semoga mak tenang di alam sana. Kemudiannya kami terus pulang ke rumah. Cuaca hari ini panas menyengat.
Kemudian ramai yang bertandang ke rumah. Memang rutin 1 Syawal, semuanya akan berkumpul. Kakak Yeye sekeluarga, Pipah, abang Bullah, kemudian keluarga arwah abang Cici, kak Rahmah serta jiran tetangga. Meriah bersama-sama.


2 Syawal
Hari ini aku sudah berada di Kedah. Petang 1 Syawal bertolak dengan perjalanan enam jam. Memang begitulah rutinnya. Kali pertama menyambut Aidilfitri tanpa pak, tapi pesan pak sentiasa tersemat agar menjaga silaturrahim. Teruskan berhari raya pada yang hidup sementara untuk pak yang pergi mohon didoakan yang baik-baik. Kami mulakan berkunjung ke rumah arwah Chik yang juga telah kembali kerahmatullah awal sebulan dari pak. Singgah berhari raya di rumah kak Pah, kemudian berkumpul di rumah kak Mah di Ayer Itam. Rumah anak sulong menjadi lokasi berkumpul, ada bang Ad - anak kedua, bang Leh - anak ketiga, kak Jah - anak keenam bersama kami, kemudian Mat - anak kelapan datang. Kami berkonvoi hingga ke Perlis di rumah Pak Su dan berhari raya hingga ke malam bersama-sama.








3 Syawal
Perancangan hari ini adalah mengadakan majlis tahlil untuk arwah pak. Pemergian pak pada 20 Ramadan lalu memang amat dirasai tetapi kesemua adik-beradik redha atas kehilangannya. Setiap perbualan pastinya akan ada terselit pesan arwah pak yang diulang-ulang dalam perbualan. Betapa pak amat mementingkan kerjasama dan hubungan silaturrahim dalam adik-beradik. Pesannya tersemat untuk semua anak-anak sama-sama menghargai dan saling beralah dalam sesuatu perkara. Bermula dari awal pagi, proses menyediakan juadah untuk majlis malam nanti berlangsung. Masing-masing memainkan peranan tanpa sebarang omelan sebaliknya bersendikan gurau senda yang menceriakan suasana. Khemah di pasang di laman rumah, sup direneh untuk bihun, mee dan kue tiaw, ketupat palas dan nasi impit dimasak. Ada kuah kacang. Anak-anak turut membantu.
Waktu malam semuanya berlangsung lancar. Ramai jiran tetangga bertandang, sanak saudara berkumpul dan adik-beradik meraikan bersama. Majlis bacaan Yassin dan tahlil berlangsung lancar selepas solat Maghrib. Kemudiannya acara makan dengan barbecue menjadi kemuncaknya. Ada ayam, kambing, sate, sosej dan isi ketam jadi juadah. Alhamdulillah, kemeriahan dimana-mana.



4 Syawal
Pagi ini sibuk berkemas saki baki dari majlis malam tadi. Pulangkan barang-barang pakat, robohkan khemah dan kembalikan kerusi meja. Kemudian kami ke Kuala Nerang berhari raya ke rumah Mat. Tidak lama berada di situ kerana sudah ada perancangan lain pukul 4.00 petang.
Majlis reunion bersama-sama rakan-rakan sekolah Mr Hubby berlangsung sebagaimana kebiasannya. Memang begitulah rutin saban petang hari raya keempat setiap tahun. Masa untuk bersama-sama rakan-rakannya. Kali ini berhimpun di Hotel Seri Malaysia. Sambil makan-makan, berbual-bual dan bagi aku sudah tentunya perlu membiasakan diri bersama para isteri golongan lelaki yang sebelum ini satu sekolah.
Waktu malam kami ke Sungai Petani berkunjung ke rumah kak Chik, layan durian lagi!

 

5 Syawal
Hujan turun sejak malam tadi membawa ke pagi ini. Lebatnya hujan. Sudahnya kami hanya keluar rumah sekitar pukul 9.00 pagi untuk meneruskan perancangan berhari raya ke Taiping rumah Bang Leh. Turut serta kak Mah dan anak-anak kak Jah. Kak Jah dah mula kembali bekerja.
Pulang dari Taiping kami singgah di Pendang berhari raya di rumah bang Ad.


6 Syawal
Kembali ke Ibu Kota untuk meneruskan rutin harian. Anak-anak bakal kembali bersekolah dan aku sendiri akan bekerja.




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers