Sunday 19 April 2015

Bersyukurlah, Asam Garam Rumah Tangga...

Sejak seminggu ini aku dikelilingi pelbagai kisah rencam rumahtangga dari beberapa insan yang akrab denganku. Bagaimana harus digambarkan apabila kasih yang dijalin dengan cinta akhirnya menjadi hambar. Lebih parah lagi sekiranya hanya sebelah pihak yang beria mahukan penyelesaian sedangkan pihak satu lagi berlepas tangan.

Sebagai seorang wanita tentunya aku berpihak kepada kaum Hawa. Bukan bermakna kami tidak mempunyai kesalahan namun acapkali hal-hal remeh bagi seorang wanita akan dianggap mudah untuk Sang Suami yang amat diharap memberi jalan penyudah.

Seorang teman yang akrab denganku, pernah melalui kegagalan rumahtangga apabila dia menjadi mangsa keganasan selain tersiksa zahir dan batin. Rumahtangganya hancur kerana sikap tidak bertanggungjawab sang suami yang hanya mengharapkan isteri untuk mengurus keluarga dan anak-anak. Kemudian dia membina kehidupan baru dan mendapat keyakinan semula untuk mendirikan rumahtangga. Malangnya dia juga perlu berdepan kerumitan. Dia cuba bertahan demi anak-anak walaupun beban kewangan dan rumahtangga banyak diurusnya sendiri.

Bertahun dia memendam rasa namun apabila semakin parah dengan diri sendiri juga yang tidak sihat turut dibiar apa perlunya bertahan lagi. Dia mengambil jalan sendiri walaupun bukanlah tujuan untuk berpisah namun dia mengharapkan lelaki yang sebelum ini menyanjungnya untuk lebih amanah terhadap tanggungjawab yang digalas. Lelaki itu, bersifat mudah, berlepas tangan tidak bertanya khabar dia dan anak-anak apatah lagi untuk menghulur wang belanja serta kebajikan keluarga.

Memang tiada airmata yang mengalir tatkala keresahan diluahkan lantaran kesakitan yang lalu lebih memilukan namun apabila mengenangkan anak-anak yang masih kecil maka tentunya kegelisahan hadir jua.

Cerita yang lain, seorang wanita tiba-tiba diceraikan kerana sang suami ingin menikahi wanita lain yang tidak sanggup bermadu. Aduh...sebelas tahun usia perkahwinan hancur begitu sahaja lantaran kasih baharu yang muncul tatkala kemewahan mula ada di depan mata. Airmata mengiringi dengan rasa muhasabah mencari kesalahan diri hinggakan teman yang sebelum ini berjanji ke akhir hayat memungkiri janji. Anak-anak dipinggirkan tanpa memikirkan masa hadapan mereka. Luluhnya hati namun apa yang mampu dilakukan selain pasrah berdepan dugaan.

Pejabat agama ditujunya tatkala pengesahan lafaz cerai dibuat. Namun selang dua minggu kemudian, lain pula ceritanya apabila Sang Suami yang tadi berubah hati kembali memujuk diri atas alasan wanita yang menjadi kekasihnya hanya mahukan wang semata-mata malah Sang Lelaki tertipu dengan cinta palsunya. Sebagai wanita yang memikirkan anak-anak, pastinya luka terasa terubat lantas terus memaafkan dan rujuk kembali. Kasihnya pada suami terlalu mendalam sehinggakan keluarga dan saudara enggan lagi ditanya untuk kembali merujuk. Kepercayaannya kepada suami melebihi 100 peratus. Kasih bersambung kembali, rumahtangga diperbaiki.

Kisah yang lain, seorang teman terluka juga akibat Sang Suami yang mempunyai kekasih hati di pejabatnya, alasannya dia sudah tawar hati terhadap Sang Isteri. Mudahnya, namun apa yang mampu dikata selain airmata mengiringi.

Semoga pelbagai kisah rumahtangga yang berlaku di sekeliling kita akan menjadi tauladan kepada kita untuk terus memperbaiki diri demi lehuruhan dan keikhlasan dalam bahtera perkahwinan.


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers