Saturday 18 April 2015

Ameer dan Akademi Bola Sepak

 Ameer nak bermain bola sepak... dia meminta dan aku memenuhinya. Mr Hubby tak kisah. Sudahnya Ameer berdaftar dengan Akademi Bola Sepak Tunas Lagenda. Kelab tersebut adalah kepunyaan bekas pemain kebangsaan tahun 70-an dan juga bekas jurulatih kebangsaan 90-an iaitu Bakri Ibni. Ada banyak pusat latihannya di seluruh Lembah Kelang termasuklah dua di Pahang. Kebetulan SK Seksyen 1 Bandar Kinrara menjadi pusat latihannya bagi kawasan Puchong maka di situlah tempat Ameer bersama mereka.


Mr Hubby carikan kasut bola dan kelengkapan untuk Ameer,
lagilah teruja budak tu. Sudahnya saban Sabtu bermula pukul 3.30 petang hingga ke pukul 6.30 petang Ameer akan berada di padang bola sekolahnya bersama-sama dengan kanak-kanak pelbagai peringkat usia menjalani latihan. Ameer terlalu baharu dalam bola sepak, banyak yang dia tidak tahu tetapi dia sentiasa ceria dan bersemangat malahan ada-ada sahaja ceritanya.

Kali pertama dia kata ada yang tendang bola dan terkena wajahnya, terasa sakit tetapi dia tahan dan hanya menangis dalam hati sahaja.... hehehe. Kemudian dia bercerita coach suruh dia jadi penjaga gol tapi banyak pula bola yang bolos. Ada pula cerita coach suruh seorang demi seorang untuk mencuba gawang dan dia dapat memasukkan bola melepasi penjaga gol. Sangat ceria. Pada hari yang lain pula, dia kata teamnya menang dalam perlawanan 3-0.

Sememangnya, aku tidak meletakkan harapan yang tinggi pada Ameer dalam usianya yang baru tujuh tahun. Namun sebagai ibu tentunya aku ingin memenuhi apa-apa sahaja permintaan anak-anak selagi mana aku mampu apatah lagi bersukan ini lebih baik daripada dai berada di rumah dengan hanya menonton tv atau mengusik kakak dan adiknya sahaja.

Dalam usia kanak-kanaknya hari ini aku mahukan Ameer menikmati pelbagai aktiviti yang dimahukannya, yang tentunya tidak sama dengan alam kanak-kanakku dulu. Jika dahulu boleh sahaja bermain bola di laman rumah atau di kawasan lapang berdekatan namun suasana hari ini berbeza. Maka biarlah dia menikmati segalanya dalam pemerhatian aku sendiri.












No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers