Saturday 31 January 2015

Layan Penang Street Art & 3D Trick Art Museum


Perancangan pulang ke kampung singgah dulu di Pulau Pinang. Soalan aku pada Mr Hubby berkaitan lukisan dinding (mural - seni jalanan) di Penang direalitikan dengan bersama menikmatinya. Tentunya aku teruja apatah lagi anak-anak. Angah dan kak Hamdah ikut bersama. Ikutkan perancangan awal, kami akan sampai ke Penang sekitar jam 10.00 pagi selepas bertolak dari KL sebelum subuh namun ada pula kemalangan yang berlaku menyebabkan jalan sesak. Sudahnya kami sampai ketika matahari berada tegak di atas kepala.


Kami menyeberang untuk ke Pulau dengan berferi. Anak-anak menikmatinya. Kemudian lepas meletak kenderaan, kami memilih berbasikal untuk menjelajah jalan-jalan di sekitar Bandar Georgtown.

Memilih basikal untuk dinaiki, Mr Hubby bersama Afrina, aku bersama Ameer, Amira bersendiri sementara Angah berdua dengan kak Hamdah. Sekitar kawasan Street Art ini ada banyak basikal yang boleh disewa, macam-macam bentuk dan warna. Harganya juga memuaskan, untuk seorang RM8, manakala untuk basikal panjang berdua (double) mahal sedikit iaitu RM20. Boleh disewa sehingga ke pukul 6.00 petang dengan disediakan kunci untuk memudahkan parking dimana-mana. Ada juga beca yang boleh disewa dengan harga berdasarkan masa yang dimahukan pelanggan.


Panas menyengat tapi angin bertiup kencang menyamankan suasana yang hangat. Bayangkan kami berbasikal ketika jam menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Kami berkeliling dengan Mr Hubby di hadapan sekali. Menjelajah Lebuh Acheh, Lebuh Pantai, melalui Jalan Cannon, kemudian di Jalan Armenian dan terus ke Padang Kota. Kami berhenti seketika di Jalan Armenian menikmati busker yang menggunakan barangan terpakai sebagai alat muziknya. Mana-mana jalan yang ada gambar tentunya menjadi tumpuan kami untuk dijadikan kenangan.    


Kami singgah bersolat Zuhur di Masjid Kapitan Keling, sambil itu melepaskan lelah seketika dalam keadaan panas yang membahang. Mujur angin Pulau amat mesra mengiringi kami.


Kemudian sambung kembali perjalanan menyusur lukisan dinding yang pelbagai, tapi perlu dicari kerana lukisan yang kecil adakalanya sekali imbas langsung tak kelihatan apatah lagi laluan bersimpang siur dengan kenderaan juga. Walaupun laluan basikal disediakan namun soal keselamatan masih perlu dititikberatkan kerana jalannya menjadi sempit bercampur dengan pengunjung yang berjalan kaki, berbasikal, ada beca selain motosikal dan kenderan lain, belum lagi dengan yang parking tepi jalan.  


Sampai di satu simpang Mr Hubby berhenti untuk melihat laluan namun kemudiannya bertegur ramah dengan penjual pisang goreng cheese yang menjaja di situ. Rupanya itu adalah rakan sekolah Mr Hubby suatu ketika dahulu di kampung. Apalagi, kami dijamu dengan pisang goreng cheese bercoklat ditengahari dengan juga air jagung dan sirap - Wow!

Hampir tiga jam berkeliling, memang lelah ditambah pula cuaca yang sungguh terik. Sudahnya, kami pulangkan basikal dan berkereta menuju ke  Penang 3D Trick Art Museum. Berada dalam bangunan dua tingkat ini memberi satu kelainan. Terlalu teruja untuk bergambar dalam pelbagai suasana yang ada.

 Masuk sahaja, kami disajikan dengan suasana desa yang permai, ada pohon nyiur untuk bersandar dengan latar rumah kampung, di tengah laman ada kanak-kanak bermain gasing dan guli. Boleh pula menjolok buah mangga di sekitarnya dengan anak kecil membawa raga. Kemudian mendayung sampan di hadapan jeti. Sempat pula naik kereta lembu dan beca. Lebih menarik ada 'tikar pandan terbang' yang seakan kami berada di udara menikmati keterujaan.

Di tingkat atas pula suasananya berlainan, lebih bersifat antarabangsa, universal dan melalui sains fiksyen hinggakan kami di telan ular besar, lost world, berbasikal di bulan dan macam-macam lagi.

Anak-anak juga ceria malah Amira kata percutian yang sangat seronok, sangat berbeza tapi tak puas pula berbasikal tadi. Sebelum kembali meneruskan perjalanan ke Kedah, kami menjamu selera di Padang Kota, menikmati air kelapa, air batu campur dan cocunat shake. Terbaik!!!










  





















No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers