Saturday 3 January 2015

Indahnya Permulaan Tahun 2015

Tahun baru 2015 bermula dengan suasana baharu. Aku anggap segala yang berlangsung sepanjang tahun 2014 adalah ilmu yang amat bermanfaat untuk menambah baik perjalanan hidup seterusnya. Syukur, niat aku dan Mr Hubby dipermudahkan apabila kami dapat meraikan tahun baru dengan keluarga, sanak saudara dan rakan taulan dalam majlis yang sederhana. Majlis kesyukuran dan doa selamat berlangsung lancar dalam suasana harmoni, cuaca yang baik dan ikatan silaturrahim yang kukuh. Lebih bermakna lagi apabila ianya berlangsung serentak dengan tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, 12 Rabiulawal dan kami langsungkan terus majlis sambutan Maulidur Rasul.
Sesungguhnya, kesyukuran dipanjatkan kepada-Nya atas limpahan nikmat yang diberi, kesihatan tubuh badan dan akal fikiran kepada kami sekeluarga, kemudian rezeki yang tidak pernah putus malah menjadikan cita-cita menghuni kediaman sendiri sebagai realiti, kerukunan dalam rumahtangga kami biarpun tugasan dan kerjaya antara kami berbeza, jalinan akrab bersama-sama bapa dan bapa mertua serta adik-beradik dalam keluarga besar, juga memohon kurnia-Nya untuk keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kami yang bakal memulakan sesi persekolahan yang baharu selain ketetapan iman untuk terus menuju ke alam abadi kelak.

Indahnya, impian untuk majlis kesyukuran menjadi nyata. Ada bacaan doa selamat, alunan surah Yassin dan juga berselawat beramai-ramai menyambut Maulidur Rasul.

Perancangan untuk memasak sendiri sebagaimana kebiasaan apabila ada majlis makan-makan aku ketepikan. Aku lebih memikirkan kualiti masa bersama keluarga. Berkumpul tanpa lelah kerana memasak lebih utama, menggunakan masa sepenuhnya untuk bersama dan saling bertukar khabar. Sudahnya nasi minyak aku tempah hanya dua hari sebelum tarikh majlis kesyukuran namun alhamdulillah kerana semuanya dipermudahkan Allah SWT. Mr Hubby menyediakan spagheti sebagaimana permintaan aku.

Majlis bermula tengahari dengan adik-beradik berkumpul. Ada abang Maili, kakak Yeye, kakak Piah, kakak Zuhra dan abang Kamal yang hadir bersama seisi keluarganya. Abang Bullah, abang Hakim dan Pipah  telah datang malam sebelumnya untuk bersama-sama di sini. Mamang Dullah juga datang bersama anak-anaknya. Mamang Dollah yang memulakan majlis doa selamat, kemudian bacaan Yassin dan Marhaban pula dipimpin oleh abang Kamal. Doanya pula dibacakan dengan penuh syahdu oleh abang Maili. Alhamdulillah.

Kemudian sesi kedua, rakan-rakan yang aku jemput bermula pukul 2.00 petang datang memeriahkan suasana. Para sahabat berkumpul antara kenalan aku dan Mr Hubby yang mengisi ruang tamu hinggalah ke laman luar. Rasa teruja menyambut kedatangan mereka sehinggakan ramai pula yang gagal aku abadikan dalam foto. Ada pula yang terpaksa menjamu selera di laman luar dalam cuaca panas namun masih juga melahirkan kegembiraan.

Aku terharu apabila jemputan yang hanya melalui whatsup disambut dengan kehadiran mereka sebagaimana Ida yang sudah bertahun-tahun tidak aku temui. Juga Malini dan Mahadir yang menjadi sahabat sejak alam kanak-kanak. Juga rakan-rakan sepejabat yang hadir ibarat memberi sokongan kepada aku untuk terus berkasih sayang dalam ikatan silaturrahim. Ada juga sahabat yang tidak dapat bersama kerana ada tuntutan hal lain yang lebih utama dan aku memahaminya. Tidak mengapa, kerana dengan rezeki-Nya insya-Allah akan ada majlis lagi di waktu yang berlainan juga, malah kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan semua ke rumah kami. :-)
    











No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers