Wednesday 7 January 2015

Amira Genap 10 Tahun

Usia Amira genap 10 tahun pada 7 Januari 2015. Tubuh badannya lebih matang dari usianya dengan ketinggian yang mencapai 151cm dan berat 48kg menyamai orang dewasa. Begitu juga pemikirannya yang juga banyak mempunyai pertimbangan positif berdasarkan pemahaman dan penerangan yang ada. Sifatnya lebih kepada seorang teman apabila kami bercerita dan keluar bersama. Namun dia masih Amira yang manja dan mahukan belaian. Pada adik-adiknya, dia sangat tegas tetapi cukup mengambil berat.


Sambutan hari lahirnya dibuat lebih awal memandangkan permintaannya untuk diraikan bersama-sama semua sepupunya di Gombak. Kebetulannya kami berkumpul maka teruslah dilaksanakan perancangan bersama, dengan dimulakan bacaan doa kesyukuran dari bapak. Amira teruja juga namun penuh rasa malu.

Untuk hadiah kelahirannya terpaksa ditangguh kerana permintaannya terlalu tinggi namun Mr Hubby telah berjanji untuk menunaikannya, Insya-Allah. Begitulah kasih ibu dan bapa yang tentunya akan memenuhi apa jua kehendak anak-anak atas keupayaan dan perhatian yang tidak pernah lepas. Amira memahami penangguhan itu asalkan dia dapat juga memiliki apa yang dihajatinya.

Untuk Amira, semoga perjalanan usia 10 tahun ini akan terus mendapat barakah dan rahmat dari-Nya untuk kesihatan dan kesejahteraan dikelangsungan hidup masa hadapan. Perteguh iman, pertingkat amal, untuk terus menjadi yang terbaik dalam hidup di dunia dan di akhirat, menjadi tauladan kepada adik-adik dan menjadi benteng kepada mama dan abah kelak. Selamat Ulang Tahun Kelahiran kesepuluh Nur Amira Farhana, buah cinta mama & abah!!!

 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers