Tuesday 9 December 2014

Minggu Terakhir Ameer Di Smart Reader Kids

Sesi persekolahan Ameer dan Afrina masih berbaki dengan minggu ini adalah minggu terakhir. Untuk Nina, dia akan melalui fasa pembelajaran awal kanak-kanak untuk dua tahun lagi kerana usianya baharu empat tahun sementara Ameer akan melalui fasa baharu. Minggu ini minggu akhir bersekolah bermakna inilah kali terakhir Ameer di alam pendidikan awal kanak-kanak kerana pada 2015, Ameer akan memasuki darjah satu.

Pertemuan terakhir dengan gurunya Ahad lalu melalui sesi perjumpaan yang berlangsung membicarakan perwatakan Ameer. Memang dia gemar bercakap, hanya suaranya sahaja yang kedengaran, lebih cenderung untuk menjadi ketua, memberi arahan itu ini kepada rakan-rakannya. Dalam pembelajaran, dia tidak ketinggalan, lancar membaca dan mengira cuma dalam penulisan memang umpama cakar ayam... Kata Cikgu Syarina, perkara tersebut normal bagi kanak-kanak lelaki yang kebanyakannya mempunyai tulisan yang teruk berbanding dengan anak-anak perempuan seusianya yang lebih kemas.

Ameer...Ameer, sememangnya itulah wataknya, juga di rumah yang tidak pernah benhenti bercakap. Ada-ada sahaja yang akan diperkatakannya, menyoal itu dan ini, kemudian menyakat kakak dan adiknya sehinggakan tangisan dan jeritan memenuhi ruang. Suaranya nyaring dalam berbicara, gemar ketawa juga namun apabila belajar atau mengaji suaranya bertukar menjadi begitu perlahan.

Ameer gemar bersekolah, mudah mengejutkannya di awal pagi. Namun keletahnya yang suka mengusik membuatkan hati selalu rasa panas, sudahlah mahu cepat namun dia masih sempat mengusik. Adakalanya dia dengan mudah akan bangun dari pembaringan, namun apabila dicari kemudiannya dia tiada, rupanya sengaja  menyorok di bilik yang lain. Jika tidak pun, menutup wajahnya dengan selimut atau bantal apabila dikejutkan dan kemudian apabila aku menariknya dia sengaja memeranjatkan aku, buat pelbagai memek muka. Lebih dari itu akan mengejek adiknya, mempersenda tingkah aku dan kakaknya juga sehinggakan pagi-pagi lagi sudah berlaku pertengkaran di rumah kerana tingkahnya. Sudahlah adik pantang diusik, abang pula suka bersenda maka tentunya akan ada tangisan yang berlaku. Apabila ditegur, katanya "ala mama ni, pagi-pagi lagi nak marah..."






No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers