Saturday 13 December 2014

Bersama Anak-anak Untuk Manisnya Cinta Di Cappadocia

Memang sibuk berkemas, memunggah dan mengatur, mengelap dan menyusun. Lelah ada di mana-mana namun semuanya seakan hilang dengan impian yang tertunai. Pada anak-anak juga enggan mereka berasa bosan lantaran terperap di rumah dan kemudian di arah pula itu dan ini. Aku merencana sendiri kerana Mr Hubby ada tugasan yang perlu dibuat. Sudahnya aku realitikan impian Amira yang terlalu meminati Fazura untuk filem 'Manisnya Cinca Di Cappadocia'.

Semuanya enam orang kanak-kanak bersama anak-anak abang Hakim yang telah beberapa hari berada di rumah. Selesai menunaikan solat Maghrib kami ke Alamanda untuk menonton. Apa salahnya menceriakan anak-anak sambil aku sendiri dapat merehatkan badan yang penat seharian berkemas.

Kami menonton pukul 8.10 malam. Panggung penuh, mujur aku menggunakan teknologi untuk mendapatkan tiket iaitu tempahan melalui online. Popcon dibeli, minuman ringan, chicken ball dan juga hot dog.

Cerita ini lebih kepada komedi romantis. Ada kisah kekeluargaan, kasih sayang dan kejujuran. Betapa pun jujurnya kita dalam kehidupan adakalanya kita ditipu sebagaimana Ifti (Fazura) yang dicurangi kekasihnya, Fredo. Memang, sebagai wanita matang dia amat memerlukan pasangan apatah lagi adiknya, Izelya (Lisa Surihani) bertunang. Ifti hanya mahukan lelaki yang jujur tanpa kisah pada latar belakang atau kerjayanya sekalipun seorang pemandu bas sebagimana ucapnya sehinggalah dia berjumpa dengan Nazmi (Shaheizy Sam). Dalam masa yang sama Ifti membesarkan anak-anak arwah kakaknya (Eja) seramai tiga orang yang meninggal kerana kanser payudara. Kemudian bekas abang iparnya (Faizal Hissein) pula menagih kasih untuk menjadi ibu bagi anak-anaknya. Namun Iftin yang pada mulanya keliru lebih memilih mengikut kehendak hatinya tanpa terdesak dengan persekitaran orang-orang di sekelilingnya.

Bagi aku, keterujaan anak-anak yang menikmati kehidupan dalam kasih sayang, kemudian mencerna cerita dari filem untuk merealitikan dalam kehidupan juga satu perjalanan yang amat menarik. Mereka bijak menilai, tahu menghargai dan berterima kasih atas kehidupan seharian.


 
 






 

 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers