Sunday 19 October 2014

Selamat Pengantin Baru Hamidah-Rahman

Selamat pengantin baru kepada anak buahku, Hamidah. Anak abang Maili yang tengah telah mendirikan rumahtangga pada 11 Okt lalu. Acara pernikahan yang berlangsung di rumahnya telah dilaksanakan sendiri oleh abang Maili. Syahdu rasa jiwa mendengar suara abang sambil menjabat tangan pengantin lelaki, dan alhamdulillah semuanya berlangsung lancar. Majlis resepsi pula telah diadakan di Perbadanan Putrajaya seminggu kemudian yang juga berlangsung dengan meriah dan sempurna. 
Keceriaan ada di mana-mana. Jalinan yang indah terhampar apabila dua jiwa menjadi satu, penuh dengan kegembiraan melihat wajah abang yang amat jauh jarak usianya dengan diriku.  Abang Maili yang sulung - dialah insan yang memimpin tanganku hingga ke pintu kelas 1 Dahlia di SK Ampang ketika aku memasuki darjah satu, dia yang menemani aku untuk menaiki bas sekolah ketika kali pertama aku merasainya, dia yang mengajar aku mengaji muqadam ketika aku mula-mula mengenal huruf, dia yang acapkali melihat kad kemajuan aku untuk mengetahui perkembangan lanjut yang semuanya itu berlaku dimasa bujangnya. Kemudian selepas dia berkahwin ketika aku darjah tiga kami semakin jauh, apatah lagi dia tinggal berjauhan dengan kami. Walaupun dia ada juga datang dan sering bertanya khabar, namun alam kanak-kanakku menjarakkan kami. 

Aku lebih kepada menghormatinya dan rasa hormat ini tidak pernah hilang sebagaimana aku menghormati semua adik-beradikku yang lain. Kemudian, anak-anaknya, walaupun tidak seakrab yang lain namun kasih tertumpah tidak pernah berbeza, malah turut berbangga atas kejayaan mereka. Untuk Hamidah dan Rahman, semoga berbahagia selalu dan semoga ikatan yang terjalin ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat. 








No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers