Monday 27 October 2014

Pulau Pangkor Kami Datang...

Percutian tiga hari dua malam ke Pulau Pangkor. Semuanya direncana oleh Mr Hubby yang sangat beria untuk ke sana, sangka ku percutian ini akan terbatal lantaran anak-anak yang bakal berdepan peperiksaan namun semuanya lancar. Memujuk bapa untuk bercuti juga tidak rumit walaupun pada awalnya beberapa kali juga bapa seakan enggan. Sememangnya niat untuk berjalan menikmati perbezaan suasana kota dengan tempat lain amat bermakna. Sebagaimana kebiasaan percutian ini bersama abang Hakim dan abang Bullah sekeluarga berserta Syafik dan Razi.

Perjalanan bermula sekitar pukul 8.00 pagi dan kami berkumpul di hentian Rawang yang kemudiannya terus ke Lumut. Dari Lumut menaiki feri ke Pulau Pangjkor. Tentunya berferi membuatkan anak-anak teruja kerana ini kali pertama kami bercuti beramai-ramai ke pulau. Sesampainya di sana kami mengambil dua teksi (van pink) bagi memuatkan kami seramai 11 dewasa dan 10 kanak-kanak ke resort yang telah ditempah awal.

Keterujaan tercalar dengan kerenah pengurusan resort. Namun, itu semua tak mencacatkan percutian kami semua. Anak-anak tentunya lebih akrab dengan kolam renang apatah lagi ia dibuka sehingga pukul 10.00 malam. Pantainya pula hanya di seberang jalan. Di luar resort dipenuhi deretan kedai-kedai makanan laut yang segar dengan pelbagai menu menjadi tarikan, ada juga jualan pelbagai barang pelancongan - cenderamata, baju-baju, barang kelengkapan untuk berenang, pelampung, alat mainan kanak-kanak dan mini market.

Hari pertama, anak-anak mandi di pantai tetapi hanya sekejap kerana selebihnya mereka meluangkan masa di kolam sehingga malam. Aku pula berjalan di pesisir pantai bersama bapak. Pemandangan cantik, menikmati suasana petang yang nyaman, pepasir memutih lembut halus sedang ombaknya sesekali amat manja menyapa dan sesekali pula mengganas menerpa.

Keesokannya, selepas anak-anak bermandian di kolam renang, kami merancang perjalanan. Menyewa teksi dan berkeliling ke seluruh pulau. Laluannya berbukit-bukau, jalan bengkang-bengkok, sempit dan ada juga selekoh-selekoh tajam yang curam. Sepanjang pantai banyak rumah-rumah nelayan dengan bot-bot mereka terdampar di pelantar. Kami di bawa ke kilang pemprosesan hasil laut yang menempatkan pelbagai jualan termasuklah sate ikan, ikan bilis, sotong kering, ikan masin dan lain-lain lagi. Tidaklah pula aku sakan membeli-belah namun ada juga dua tiga bungkus yang diambil untuk aku merasanya sendiri.

Kemudian kami dibawa ke Kota Belanda iaitu hasil tinggalan sejarah yang dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda sebagai tempat untuk menyimpan bijih timah di Perak pada tahun 1670-an. Kota lama yang batuannya amat kukuh. Ada juga batu bersurat. Kini kawasan ini diwartakan sebagai tapak monumen lama dan warisan tinggalan sejarah yang diselia oleh kerajaan negeri. Teringat pula subjek Sejarah iaitu Perjanjian Pangkor 1876 yang melibatkan Gabenor Negeri Selat Sir Andrew Clarke terlibat dengan golongan istana. Di kawasan sekitarnya ada gerai-gerai menjual barang kraftangan dan cenderahati untuk pelancong sebagai ole-ole.

Seterusnya ke Tokong Fu Ling Kong yang dibina di kaki bukit Pangkor. Seni binaannya mengambil replika Tembok Besar China selain lukisan-lukisan di atas batuan menjadi tarikan. Ada juga laluan untuk pendakian ke atas bukit yang menempatkan pemandangan selain landskap alam sekitar yang indah. Meluangkan masa secara santai, dengan angin menghembus lembut dan matahari yang cerah bersinar.

Dengan sewa teksi sebanyak RM80 sebuah, dalam masa dua jam lebih Pulau Pangkor telah dijelajah termasuklah melalui kampung-kampungnya yang lengkap dengan pelbagai kemudahan awam, ada sekolah, klinik, hospital, balai polis dan di pekannya kelengkapan juga tidak ada yang kurang.

Di sebelah petang, kami kembali menikmati keindahan pantai, anak-anak bermain pepasir dan ada juga yang bertanam badan, termasuklah Mr Hubby. Tempat percutian yang menarik namun aku masih tidak berkesempatan untuk menyertai 'hoping island', menjelajah dengan bot dari satu pulau ke pulau yang lain dan kemudian bersnokeling kerana sewaktu perancangan dibuat keadaannya tidak sesuai, air pasang dan ombak kuat. Sudahnya menyimpan harap untuk merasainya di tempat yang lain, pada waktu yang lain juga.













 
















 

















 









No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers