Sunday, 7 September 2014

Walimatul Urus Suriyani & Razihan

Selamat pengantin baru kepada Yayan dan Razi yang memasuki alam perkahwinan. Yayan anak ketiga arwah abang Solo yang sangat manja dan 'mendayu-dayu' suaranya. Aku bersama Mr Hubby sekeluarga telah merancang perjalanan bagi menghadiri majlis tersebut sejak awal tahun ini lagi, malah sejak tarikh perkahwinan ditetapkan, kemudian disertai oleh abang Hakim sekeluarga, abang Kamal dan kak Hasanah yang turut serta. Abang Bulla tidak dapat bersama kerana Ziela bakal menduduki UPSR. Majlis berlangsung di Ang Mo Kio, Ave 6, Singapura dengan kehadiran sanak saudara yang bergabung dari tiga negara - Indonesia, Singapura dan Malaysia - masih tetap serumpun dan akrab biarpun berlainan negara.

Alhamdulillah, majlis walimatulurus berlangsung lancar, meriah dan segalanya dipermudahkan. Aku memahami segala kesulitan dan beberapa kerumitan yang berlaku sebelum ini namun kemudiannya itu semua hilang sebaik sahaja majlis berlangsung. Upacara akad nikah pada Jumaat malam juga meriah yang kemudiannya lebih bersemarak kemeriahan pada majlis kenduri hari Sabtu. Para tetamu tidak henti kunjung tiba sejak pukul 1.00 tengahari hinggalah ke pukul 8.00 malam. Rasa lelah diketepikan dalam kemesraan majlis yang sempurna. Bukan hanya tetamu yang hadir malah lauk-pauk dengan pelbagai kuih muih di samping sajian pelbagai air minuman sehingga 12 jenis - kali pertama dalam acara perkahwinan disajikan air sedemikian banyaknya.

Semoga dengan jalinan kemesraan dalam ikatan perkahwinan ini akan menambah eratnya hubungan kekeluargaan, rasa saling hormat menghormati dan melengkapkan segala kekurangan. Pesanan pada mempelai hanya satu perkataan yang aku ulang sehingga lima kali iaitu, sabar, sabar, sabar, sabar dan sabar. Hanya 'sabar' kunci segala kesulitan, akan redha atas ujian-Nya dan pasrah atas ketentu-Nya. Berbahagialah Yayan dan Razi dalam berkongsi kehidupan, menganyam suka dan menjalin duka, tentunya akan lebih manis apabila segalanya dapat dihadapi bersama.









No comments: