Sunday 28 September 2014

Amira & Taekwando

Apa yang aku tahu tentang seni mempertahankan diri? Jawapannya tiada malah semasa di alam kanak-kanak emak tidak memperkenankan permintaan aku untuk menyertai kawan-kawan sekampung yang kebanyakannya bermain silat. Hanya aku yang jadi penonton dengan hati alpa, namun kini aku memahami kerana emak bimbang aku berperangai kasar apatah lagi aku hidup dikelilingi adik-beradik lelaki. Untuk Amira pula, permintaannya untuk menyertai taekwando ketika darjah satu tiga tahun lalu aku perkenankan walaupun ketika itu Mr Hubby agak keberatan. Amira bersungguh dan aku memahaminya kerana aku juga teruja untuk anak-anak terlibat aktif lagilah seni mempertahankan diri, elok juga untuk melindungi dirinya dan membentuk sahsiah keperibadian tersendiri.

Penglibatan Amira dalam taekwando mendatar... dia masih lagi pemalu dan tidak agresif namun dia tidak ketinggalan. Bermula dari awal kemasukan sehinggalah bertukar warna tali pinggang, Amira tetap sama... semangatnya untuk ke kelas saban minggu tidak pernah luntur. Juga tidak sukar mengejutkannya untuk menyertai sesi latihan yang berlangsung seawal 8.00 pagi setiap Ahad di sekolahnya.

Kali ini ujian yang ditempuhi Amira adalah untuk mendapatkan tali pinggang biru. Ada kesungguhan pada dirinya lantaran bulan lalu dia banyak terlepas kelas, ada bercuti dan ada beberapa kenduri. Rasanya dalam sebulan hanya sekali Amira ke kelas latihan lantas ada pula ujian. Biarpun tercicir dalam latihan namun Amira masih tetap dapat mengikuti pengajaran yang diberi, rupanya dia menonton youtube untuk mempelajari teknik yang dia tertinggal.

Melihat kesungguhannya, seakan tidak sedar bahawa dia menghidap reumatik. Memang dua tiga hari ini dia ada juga mengadu sakit di pergelangan tangan dan sesekali di kaki. Pemakanannya menjadi keutamaan dan kesihatan adalah sesuatu yang wajib ada di tangga teratas.

Amira semakin matang, pembesarannya seakan melangkaui usianya sendiri namun dia masih kanak-kanak yang perlukan banyak perhatian. Untuk seni mempertahankan diri ini, aku sekadar mahukan dia berseronok menikmati apa yang digemarinya yang secara tidak langsung dapat mendisiplinkannya dalam ilmu yang aku tidak ada.

Melihat keperibadiannya dalam taekwando, aku membayangkan watak Iris dalam novel yang aku gemari, seorang gadis yang lincah dan mahir dalam seni mempertahankan diri... aku terbawa-bawa dengan apa yang aku baca pula. Apapun, mama sayang kakak dan jadilah sebagaimana diri sendiri!!!





No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers