Friday 22 August 2014

MH17: Kami Bersatu Dalam Kehibaan

Allahuakhbar... sememangnya tiada kata-kata untuk dilafazkan, tiada cara untuk menghuraikan bagaimana gundahnya rasa hati, pilu menakluki setiap rongga tubuh, syahdunya amat menyengat dan air mata yang mengalir seakan tiada mahu berhenti. Betapa tragedi MH17 amat memilukan. Terlalu besar dugaan yang menimpa, bukan hanya dirasai ahli keluarga mangsa yang kehilangan malah kami seluruh rakyat Malaysia sehinggalah masyarakat antarabangsa merasai bagaimana peritnya kehilangan ini.

Sesungguhnya bukan kematian yang menjadi persoalan namun yang memuncakkan amarah adalah kesanggupan tindakan ganas terhadap pesawat komersial MH17. Tragedi ngeri yang disengajakan, malah gunalah apa jua alasan pun sememangnya tindakan tersebut terkeluar dari batas kemanusiaan, namun pada siapa mahu diberi tanggungjawab untuk dipersalahkan.

Kepiluan terlalu amat, menyambut ketibaan jenazah mereka yang terkorban dengan keranda bertutup Jalur Gemilang. Siapakah yang dapat menahan rasa pilu apabila jenazah yang di bawa pulang tidak akan dapat ditatap mata, yang ada cuma nama sahaja namun masih bersyukur kerana mereka ini masih dapat dibawa pulang walaupun dalam bentuk sedemikian.

Berat mata memandang, maka berat lagi bahu yang memikul. Airmata semakin lebat berjuraian tatkala melihat wajah-wajah yang ditinggalkan. Bagaimana hati seorang ibu yang mengharapkan anaknya, bagaimana kasih seorang balu yang kehilangan suaminya, bagaimana belasnya wajah anak kecil yang dahagakan kasih bonda dan ayahandanya. Luluh hancur lebur rasanya hati berkongsi kedukaan atas satu kehilangan.

Tabahlah wahai hati, tenanglah wahai jiwa, bukannya mengharap simpati atau mahukan belas ehsan namun memujuk kepiluan untuk segaris ketenangan dalam kesyahduan terasa amat payah. Adakah lena tidur mereka yang kehilangan ini... apakah mampu mereka menelan makanan dalam kehibaan yang terlalu amat... bagaimana mungkin mereka merancang suatu masa hadapan tanpa lagi insan tersayang di sisi.... aduhaiiii.... perit menghimpit dada apabila membayangkan diri sendiri berdepan dugaan begini.

Airmata hanya mampu disapu sedang kesyahduan tetap jua bertandang. Belajar untuk redha, pasrah menerima ketentuan-Nya, dengan sepenuh keikhlasan dan yakin atas takdir dari-Nya serta percaya bahawa masih banyak kebahagian lain yang akan digantikan-Nya untuk satu kehilangan ini biarpun apa yang datang tidak akan sama dengan apa yang pergi. Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Penyayang, Allah tempat segala-galanya maka hanya kepada Allah jualah kita berserah.

Damailah para sahabat yang mendahului kami biarpun pemergian kalian dalam tragedi yang amat menyayat hati. Semoga kalian akan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman dan menunggu kedatangan kami pula yang tentunya suatu hari nanti akan menyusul jua... - Al-fatihah.


 



kredit foto: umno-online

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers