Sunday 31 August 2014

57 Tahun Merdeka: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

31 Ogos, tarikh kemerdekaan dan tahun ini ulang tahun yang ke 57. Tema kali ini 'Malaysia, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' aku anggap amat sesuai walaupun pada mulanya terasa terlalu panjang. Memang, di bumi bertuah inilah bermulanya sebuah cinta biarpun ini bukan tanah tumpah darahku namun seluruh kehidupanku bermula di sini. Walaupun aku lahir di negara jiran, tetapi di Malaysia segalanya bermula, dari usiaku belum tahu membezakan antara yang baik dan buruk, hinggalah aku mendapat pendidikan awal dari tadika Kemas yang mula-mula diwujudkan, kemudian bersekolah rendah, sekolah menengah dan menjejakkan kaki di menara gading. Tiada keterasingan dalam usaha memburu impian dan merealitikan cita-cita malahan aku lebih teruja. Di sini bermulanya kehidupanku, masa depanku termasuklah masa laluku juga, semoga kuburanku kelak juga di bumi bertuah ini.


Aku merasa cukup terjua untuk menyambut kemerdekaan kali ini bersama-sama anak-anak di Dataran Merdeka. Semangat patriotik anak-anak perlu diterapkan dari peringkat awal malahan aku berbangga jika anak-anakku bercita-cita untuk menyarung pakaian seragam perkhidmatan awam. Amer dan Nina kerap berkata nak jadi polis, nak jadi tentera, nak jadi bomba dan aku anggap ia sebagai doa agar mereka dipermudahkan mencapai impian untuk masa hadapan.

Hari kemerdekaan ini, selesai solat subuh, kami menuju lokasi dengan menaiki LRT. Perjalanan kami tanpa Mr. Hubby lantaran pulang ke kampng halaman untuk menceriakan ayahanda mertuaku. Bermulanya cinta Mr. Hubby adalah di Kg Mempelam jadi biarlah dia menggembirakan pak yang semakin uzur sedang aku menceriakan anak-anak dengan laungan merdeka ditengah-tengah ibu kota.

Meraikan kemerdekaan di Dataran Merdeka bukanlah pertama kali bagi aku tetapi julung kali bagi anak-anak. Seusia remaja yang lalu aku pernah berada di sini, termasuklah di tengah-tengah malam meraikan ambang kemerdekaan, namun semuanya bersama abang-abang. Ada aku datang bersama abang Bullah, abang Hakim dan pernah juga bersama arwah abang Daili sekeluarga semasa aku belasan tahun. Kali ini aku menyemai kembali ingatan lampau dengan menyampaikannya kepada anak-anakku agar kelak mereka merasai bagaimana indahnya kemerdekaan itu.

Bumi bertuah Malaysia, negara aman makmur tanpa celanya dengan semangat perpaduan yang akrab, bersama-sama menyusur kehidupan, mengayam impian dan merasai kenikmatan atas segala kurnia-Nya. Semoga kesyukuran yang dipanjatkan setiap hambanya akan dirahmati dan Allah SWT terus mengurniakan Malaysia dengan kemakmuran dan keamanan berterusan. Merdeka...merdeka...merdeka, sesungguhnya di sini lahirnya sebuah cinta!!!






No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers