Thursday 24 July 2014

Lagi... Susulan Rawatan Acute Rheumatic Fever

Hari ini ke klinik kesihatan lagi untuk cucuk Amira. Maknanya dua kali untuk bulan puasa ini memandangkan tarikh berikutnya kebetulan jatuh pada hari ketiga Syawal. Jika diikutkan perancangan hari terbabit kami akan berada di Kedah dan tentunya untuk cucuk juga perlu dilakukan di sana. Namun kata doktor yang merawat Amira di hospital minggu lalu, tidak semua hospital mempunyai ubat ini dan bukan semua klinik kesihatan juga mempunyai stok ubat tersebut kerana ia memang terhad. Maka tarikh baru dibuat iaitu jadual untuk cucuk dilakukan seminggu awal. Kata doktor sepatutnya ia dibuat pada minggu ketiga atau keempat selepas cucuk yang terakhir.

Sememangnya, aku mengharapkan Amira sentiasa tabah, walaupun aku akur dia tentunya sangat fobia untuk dicucuk namun apakah pilihan yang ada. Kata-kata semangat diiringkan setiap detik padanya agar dia redha dengan ketentuan-Nya. Amira adalah satu-satunya insan terpilih, dipilih oleh Allah SWT bagi melalui penyakit tersebut yang memaksanya menerima injection saban bulan tanpa perlu gagal.

Alhamdulillah kali ini dia lebih bersifat alah lantaran tauladan hasil suntikan awal bulan yang lalu. Kedegilannya mengakibatkan dia terpaksa dicucuk sehingga tiga kali kerana masa yang diambil untuk memujuknya telah mengakibatkan ubat membeku. Hal ini juga satu pengajaran untuk Amira dan pengetahuan kepada aku dan para petugas lain di klinik kesihatan terbabit. Mujur kakitangan yang bertugas amat memahami.

Semoga Amira terus tabah untuk berdepan dengan ratusan suntikan lain yang bakal diterimanya sehinggalah usianya mencapai 21 tahun kelak. Insya-Allah mama dan abah akan sentiasa temani kakak dalam menerima rawatan ini. 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers