Wednesday, 2 July 2014

37 Tahun, Nikmat Apa Lagi Yang Aku Dustakan

Hari ini, genap hari kelahiranku... sudah 37 tahun aku dikurnikan Allah SWT rahmat yang tidak terhingga. Dengan tubuh badan yang sihat dan akal yang waras aku mendapat kesejahteraan yang tidak terhingga, maka apa lagi yang aku mahu nafikan dalam kehidupan ini? Jika pangkat dan kedudukan, maka cukuplah aku bergelar isteri dan ibu... alhamdulillah. Panggilan dan gelaran yang sangat-sangat tinggi nilainya untuk seorang wanita kerana aku akui bukan semua wanita dikurniakan menjadi isteri malah jika ada yang bergelar isteri pun, ada yang tidak berpeluang bergelar ibu.


Dalam menyusuri perjalanan usia ini, sememangnya aku bersyukur dengan apa yang aku miliki hari ini, biarpun masih ada kekurangan namun ketenangan yang ada membuat aku sentiasa senyum. Benar, wang bukan segalanya untuk bahagia namun akui bahawa wang amat penting dan ketiadaannya boleh mengundang derita. Dengan adanya usaha tanpa henti, tanpa kenal lelah dan putus asa maka pastinya impian yang dihajati akan tercapai.

Dalam usia 37 tahun ini, aku anggap aku menuju kepada kematangan... meniti kedewasaan dalam kehidupan dikelilingi keluarga, rakan-rakan dan kesibukan dalam kerjaya juga. Namun ia bukan satu alasan untuk memasang impian. Masih ada banyak cita-cita aku yang belum terlaksana. Selain dari impian sebagai ibu untuk melihat anak-anak berjaya, aku masih mempunyai impian peribadi yang memang aku anyam sejak usia muda. Biarpun impian ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan atau nilai kerjaya aku, namun aku ingin mencapainya untuk kepuasan diri sendiri.

Untuk mendapat hadiah... ini bukan lagi zaman anak remaja yang teruja dengan hal-hal sedemikian namun ingatan dan ucapan akan membuat hati benar-benar tersentuh. Sesungguhnya, persefahaman, kepercayaan dan kasih sayang adalah hadiah yang tidak ternilai untuk dijadikan ukuran dikala usia semakin bertambah. Semoga perjalanan hidup ini akan terus diredhai Ilahi dengan pelbagai rahmat dan kurnianya. Allahuakhbar!!!

 

No comments: