Tuesday 20 May 2014

Teater Di Bawah Lindungan Kaabah

Aku amat teruja sebaik sahaja  mendapat tahu novel Di Bawah Lindungan Kaabah akan diadaptasi kepada persembahan teater. Sebaik sahaja tiket persembahannya mula dijual maka satu permintaan kepada Mr Hubby dibuat untuk menemai aku. Alhamdulillah Mr Hubby setuju dan tarikhnya ialah pada 12 Mei 2014 (Isnin). Aku anggap ini sebagai temu janji kami berdua apatah lagi amat sukar untuk kami dating dalam keadaan anak-anak masih kecil. Terima kasih Mr Hubby yang sudi melayan kerenah dan permintaan ini, satu penghargaan atas masa yang diberi dalam kesibukan yang pelbagai.

Apakah sebab teater ini menjadi pilihan aku? Karya Haji Abdul Malik Amrullah (Hamka) ini aku kenali ketika aku masih berada di sekolah rendah. Aku membaca buku abang Maili. Memang abang Maili banyak buku-buku agama apatah lagi dia dari latar belakang sekolah pondok. Mula-mula membacanya hati terus tertawan kerana bahasa yang penuh santun, ringkas dan terasa ke kalbu. Kehidupan Hamid yang menjadi watak utama penuh dengan kesusahan tetapi terhimpun ketabahan. Rasa bahagian mengulit watak Zainab yang amat halus dan mulus. Berkali-kali aku membaca novel itu sehinggalah kemudiannya aku membesar, remaja dan dewasa maka barulah aku sedari bahawa novel tersebut adalah karya besar yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu nusantara khususnya Indonesia.

Menonton teater ini, aku mendambakan kepuasan dengan para pelakon yang hebat-hebat, yang hampir kesemuanya aku amat minati. Namun, perjalanan ceritanya meleret-leret, terlalu mendayu-dayu dan untuk satu-satu babak seakan keterlaluan pula gambarannya. Aku mencari dimana klimaksnya, adakah semasa Zainab mati atau semasa Hamid sendiri menghembuskan nafasnya kerana aku tidak puas. Dimana kepuasan dalam teater ini apabila ia habis dalam keadaan membosankan? Biarpun begitu, watak  yang ada seboleh mungkin menghayati perwatakan yang digambarkan. Syahdunya menahan rasa cinta, pilunya menanggung rindu, sukarnya meluah rasa namun kasih tidak kesampaian.

Aku amat tertarik dengan segala prop yang menghiasi latar tempat dan masa dalam teater ini. Cantinya pemandangan yang diwujudkan, indahnya gedung yang menjadi kediaman Zainab dengan bentuk rumah minangkabaunya, setiap perubahan babak membawa kepada suasana berbeza yang seakan hidup dan berseri. Ditambah pula dengan lagu-lagu yang amat mendamaikan, sesuai dengan konsep Islam yang diterap dan susunan lirik yang amat menarik.










No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers