Friday 18 April 2014

Hobi Gila Novel...

Aduhaiii… seakan penyakit lama menular kembali. Aku mula menyemai semula hobi lama yang sememangnya amat parah suatu waktu dulu. Aku hantu novel terutamanya novel cinta yang akan membuai perasaan romantik dalam diri aku. Aku sebut parah kerana suatu ketika dahulu aku pernah terlalu amat taksub dengan membaca novel sehinggakan aku sanggup tidak makan atau tidur kerana mahu menghabiskan pembacaan.

Ketika di alam persekolahan, perpustakaan menjadi pusat aku meminjam buku sehinggakan aku memohon menjadi perpustakawan sekolah kerana sedar antara tugasan yang akan digalas ialah menyusun buku-buku baru termasuk novel. Aku sanggup menghabiskan sepenuh masa dengan membaca novel, lebih menarik tanpa gangguan... dalam suasana sunyi dan hening kerana tentunya aku akan mampu menyelami watak dan perwatakan yang ada dalam novel terbabit lalu menginspirasikannya dalam hidupku sendiri.

Antara novel popular dan karya berat aku memilih kedua-duanya. Ada keseimbangan dengan melihat kesan yang terhasil. Aku akui kata-kata seorang guru yang menyatakan membaca karya popular ibarat berjalan-jalan di shopping complex, banyak yang menarik dan seronok tetapi apabila pulang tidak ada apa-apa kelainan kerana telah biasa sedangkan membaca karya berat ibarat mendaki satu gunung yang tinggi, apabila tamat pembacaan ibarat telah sampai ke puncaknya dan apabila pulang, biarpun lelah namun merasi kepuasan yang akan diingat sampai bila-bila.

Aku mula membaca novel ketika zaman sekolah rendah melalui karya berat tanpa aku sengajakan kerana aku terjumpa novel Di bawah Lindungan Kaabah oleh Hamka milik abang Maili. Aku membacanya dan meminatinya kerana susunan ayat dan santun bahasa yang amat sopan. Kemudiannya aku membaca novel rakan sekelas sekitar darjah lima, Elmina meminjamkan aku novelnya Badai Semalam karya Khadijah Hashim yang amat terkesan dan aku mahu menjiwai watak Mazni yang cekal dan tabah untuk meneruskan pengajian biarpun berdepan kemiskinan. Aku juga menyukai novel Seroja Masih Di Kolam karya Adibah Amin namun bagi aku novel yang paling hebat ialah Imam karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein. Biarpun buku ini tebal melebihi 1000 halaman namun aku dapat menghabiskannya dalam tempoh tiga hari. Sesuatu yang aku anggap bukan mudah bagi menamatkan sebuah karya berat.

Sememangnya karya berat memerlukan pengamatan, penghayatan dan menyentuh hati nurani keseluruhan dalaman yang kemudiannya terkesan sepanjang zaman sedangkan karya popular adalah bacaan ringan dengan penggunaan bahasa mudah yang dianggap oleh segelintir pencinta bahasa tidak menyumbang kepada adab dan peradaban... ada pro dan kontra tetapi aku masih membacanya tanpa mengambil kira pertentangan sedemikian.

Aku baca buku-buku fiksyen juga seperti karya bersiri Alfred Hitchcock, Hardy Boys, Nancy Drew dan lain-lain. Aku masih meminati karya sedemikian tetapi aku tetap terbuai dengan irama romantika, bahasa cinta dan perasaan kasih sayang yang meluap.

Aku pernah bertahan enggan meneruskan hobi tersebut lantaran aku acapkali gagal melawan nafsu pembacaan hinggakan aku ketepikan semua di sekelingku. Di perpustakaan aku jauhkan diri dari berkunjung ke tempat novel, begitu juga di kedai-kedai buku dan aku mula menyemai pembacaan kepada buku-buku motivasi dan biografi. Lebih mudah kerana aku turut terlibat dalam industri perbukuan khususnya bidang sains sosial dan penulisan biografi sehinggakan aku bertanggungjawab menjadi editor buku karya Sasterawan Negara Arena Wati iaitu Warna Sukma Usia Muda. Bahasa yang amat tersusun dengan permainan jiwa yang amat halus. Sememangnya buku-buku tokoh terdahulu amat menarik dan memberikan inspirasi untuk aku meneruskan perjuangan dalam kehidupan. Aku amat menggemari memoir Tun Dr. Mahathir sehinggakan aku menjadikan buku versi bahasa Melayu dan Inggeris sebagai koleksi peribadi.

Kemudiannya aku mencambahkan benih dalam bahan bacaan politik. Rumit. Terlalu banyak yang tidak
jujur dan lebih banyak yang bersifat berat sebelah. Penilaian bergantung pada kematangan fikiran sehinggakan aku menjadi perlu terlalu berhati-hati. Ibaratnya semua yang ada di sekelilingku perlu dipolitikkan, apa-apa sahaja yang bakal dilaksana seakan ada kaitan antara untung dan rugi pula. Aku jadi rimas dan benih yang cuba semai tidak terbaja lalu ia seakan hidup segan mati tak mahu.

Alam rumahtangga seakan membataskan jumlah masa yang aku ada. Banyak perkara yang aku perlu fikirkan dengan keutamaan kepada anak-anak dan keluarga lantas tumpuan aku juga terarah kepada pembacaan anak-anak. Namun, manakan mampu aku menahan gegolak hati untuk terus bergelora menyelami asmara dalam irama romantika yang seakan membuak-buak dalam hati aku.

Aku pernah cuba disiplinkan diri. Tiada bahan bacaan popular sehinggalah tesis yang aku usahakan tercapai. Sekarang tesis dalam proses pembetulan. Kiranya dalam 80 peratus hampir siap jadi aku boleh mula menggamit hobi yang yang amat aku idamkan.

Memang, membaca akan membuai perasaan. Membaca akan merangsang minda, menghayutkan diri. Ada sendu dan airmata apabila hati terusik membaca kalimah tertulis, ada senyum dan tawa ceria apabila hati dicuit jenaka dan terasa indah apabila menikmati saat bahagia. Hidup dalam pesona yang penuh angan-angan sebagaimana lakaran penulis dalam novelnya sehinggakan Mr. Hubby pun seakan rimas dengan sikap aku. Tapi inilah diriku... 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers