Wednesday 16 April 2014

Catuan Air...

Aduhhh... kawasan perumahan aku terlibat dalam catuan air. Pelan pertama tiada apa-apa yang terjejas tetapi dalam pelan kedua, bekalan di rumah aku turut terganggu. Walaupun ada air tangki yang sememangnya cukup untuk catuan setiap dua hari namun air di sinki dapur dan untuk mesin basuh bersambung terus dari paip utama. Terjejas juga sedikit sebanyak aktiviti harian. Sudahlah catuan pula tidak mengikut jadual, kata hanya dua hari namun ada juga meleret sampai ketiga hari... dan apabila air ada tekanan yang sampai pula dikurangkan menjadikan air paip terlalu kecil... ayat kasar ibaratnya air kencing lagi besar. Itu belum lagi dengan kualiti air yang amat teruk, air yang sampai berkarat seolah-olah belum dirawat yang tentunya mengganggu juga emosi kami.

Alahai... apalah nak dikata jika catuan ini berterusan. Inilah hasil yang diperoleh daripada kepimpinan kerajaan Negeri Selangor yang amat 'bertanggungjawab'. Catuan air bermula sekitar bulan Mac lalu akibat musim panas dan kering yang berlarutan sehingga ke awal April namun begitu, empangan yang sewajarnya menakungkan air masih kontang dan hujan yang semakin kerap masih gagal mengisi kekontangan terbabit.

Pentingnya air... bukan hanya kita manusia yang memerlukannya malah tumbuhan juga akan mati apabila kekurangan sumber utama ini. Tanpa makanan, manusia masih boleh bertahan untuk hidup selama 10 hari tetapi tanpa air dikatakan manusia hanya boleh bertahan selama tiga hari sahaja. Ketidakupayaan pengaliran air yang sempurna akan mengganggu kelancaran aktiviti seharian, dan semoga permasalahan yang ada ini akan segera selesai.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers