Monday 24 March 2014

Menangani Acute Rheumatic Fever

Kesihatan Amira menjadi perhatian. Pemakanan ubat berkala, suntikan perlu dibuat dan pemeriksaan doktor berterusan saban bulan. Menu hariannya juga aku ambil tahu, apa yang dimakan, apa yang diminum dan pukul berapa dia makan. Sememangnya doktor bukanlah memberikan perincian sedemikian namun memandangkan rheumatic yang dihidap Amira ada kemungkinan untuk berulang maka aku lakukan pemantauan serapi mungkin.
Alhamdulillah. Sejak Amira disahkan mengalami rheumatic Februari lalu, hingga kini ia tidak berulang lagi. Namun ada juga sekali dua Amira memberitahu kakinya sakit, sebagaimana petanda awal ketika dia mula-mula bakal diserang rheumatic. Aku berjaga-jaga. Rehatnya aku pastikan ada, tidurnya aku pastikan mencukupi. Dua minggu selepas keluar dari hospital Amira ambil suntikan pencegahan akut rheumatic sebagai bakal menggantikan ubat yang tiap-tiap hari dimakannya. Ketika itu Amira begitu fobia untuk makan ubat sehinggakan menangis tersedu sedan. Juga, pil yang dimakan masih perlu diteruskan.


Genap sebulan selepas keluar dari wad, Amira ke hospital lagi. Pemeriksaan kesihatan dilakukan. ECG dibuat, pemeriksaan jantung, ujian darah, tekanan darah dan buah pinggang dijalankan bagi memastikan tiada lagi kuman negatif yang boleh mengganggu keseimbangan tubuh Amira. Kata doktor, biarpun di mata kasar, Amira nampak sihat namun saki baki kuman yang ada berkemungkinan akan membawa bencana. Lebih parah jika akut ini bukan sekadar menyerang sendi sebagaimana yang Amira alami sebelum ini, tetapi ia juga mampu menyerang jantung yang mengakibatkan kegagalan jantung untuk berfungsi dengan baik dan membawa kepada pembedahan, boleh jadi juga menyerang sel-sel otak atau organ dalaman yang lain. Kerana itu pemeriksaan sempurna perlu dilakukan, dengan terperinci dan pengawasan dari pakar sendiri.



Pemakanan ubat tidak boleh dihentikan serta merta sebaliknya dosnya akan dikurangnya secara berkala hingga dalam masa sebulan akhirnya dia tidak perlu makan ubat apa-apa lagi. Jadual pemakanannya sebelum ini bermula dengan:

             1. 5 biji x 4 kali sehari = 20 biji sehari
             2. 3 biji x 4 kali sehari = 12 biji sehari


Selepas sebulan pelan pemakanannya berkurang lagi:
                            1. minggu pertama - 3 biji + 2 biji + 2 biji + 2 biji = 9 biji sehari
                            2. minggu kedua - 2 biji + 2 biji + 2 biji = 6 biji sehari
                            3. minggu ketiga - 1 biji + 1 biji + 1 biji = 3 biji sehari
                            4. minggu keempat - 1 biji + 1/2 biji = 1 1/2 biji sehari

Kemudiannya, Amira tidak perlu mengambil ubat makan lagi namun meneruskan suntikan setiap 28 hari yang perlu di buat di klinik kesihatan, tanpa gagal. Kata doktor suntikan ini sebagai mencegah daripada penyakit tersebut menyerang dan perlu dilakukan secara berkala, sehinggalah umurnya 21 tahun kelak. Sekarang Amira baru sembilan tahun bermakna ada 12 tahun lagi dia akan berdepan dengan penyakit ini. Secara anggaran suntikan ini perlu dibuat sebulan sekali maka bermakna:

                            12 bulan x 12 tahun = 144 kali Amira bakal di suntik (ini baru sekali dilakukan)

Doktor Sarah Faiz yang merawat Amira ketika itu memberikan penerangan lanjut berkaitan reumatik ini. Lengkap penjelasannya biarpun sebelum ini doktor yang merawat di wad telah menerangkannya. Aku juga bersoal jawab tentang apa-apa yang tidak difahami. Apatah lagi Amira masih mempunyai masalah tonsil dan aku bimbang kesakitannya berulang lagi.

Kata doktor, Amira tidak perlu pantang apa-apa makanan atau aktivitinya perlu diganggu. Namun sekiranya dia mengalami demam yang berlarutan lebih dari tiga hari, masih tidak sembuh jika telah dirawat secara biasa maka segelah berkunjung ke hospital. Sekiranya demam atau tonsilnya datang menyerang pun, Amira masih boleh dirawat seperti pesakit biasa namun jika gagal sembuh barulah pemantauan rapi perlu dibuat.

Aku sendiri lakukan pemantauan ke atas Amira. Insya-Allah akan aku pastikan kesihatannya menjadi keutamaan. Dia sendiri memahami kesakitan yang pernah dilalui. Dia sendiri turut mendengar penerangan dari doktor, jadi mudahlah untuk aku memaklumkan kepadanya pelbagai perkara yang boleh atau tidak boleh dibuat. Paling penting aku ingatkan padanya untuk minum air masak sebanyak yang boleh. Ia bukan sahaja mampu mengawal suhu badan malah aku tidak mahu tonsilnya datang lagi dalam keadaan dia sendiri baru pulih.

Sedang semangatnya juga perlu terus kukuh, dia perlu tabah, teguh dan mampu berdepan dengan pelbagai lagi dugaan pada masa akan datang. Aku terjumpa juga tulisannya dalam buku-buku harian... banyak kata-kata motovasi untuk dirinya sendiri ditulis yang antaranya 'Amira kuat, Amira tabah' dan beberapa lagi catatan lain. Galakan untuk dia menulis aku berikan sebagaimana diari harian diberikan padanya. Sekurang-kurangnya ia akan melatih Amira untuk menulis dan meluahkan isi hati sendiri.

Lebih dari itu, rakan-rakan sekelasnya di SKS1BK pun turut menghasilkan kad ucapan yang besar untuk Amira. Satu dari pelajar-pelajar lelaki dan satu lagi dari pelajar-pelajar perempuan. Rakan baiknya pula memberikan hadiah. Syukur... Amira kembali ceria dan bersemangat walaupun berdepan dengan penyakit yang amat asing bagi kami semua.


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers