Saturday 8 March 2014

Ameer Enam Tahun

 Hari kelahiran Ameer ke-enam tahun. Ceria dia mahu menyambutnya. Permintaannya mahu sambutan hari lahir di rumah sendiri, memotong kek menggunakan meja bulat kecil dan mahukan hadiah set alat tulis. Mudah sahaja permintaan tersebut, kebetulannya hari lahirnya jatuh pada hari Jumaat jadi kami meraikan secara sederhana pada hari Sabtu, memotong kek dan makan beramai-ramai. Sebagaimana biasa, sambutan dibuat bersama Puteri lantaran perbezaan hari lahir antara mereka hanya berselang tiga hari sahaja tarikhnya.


Pagi-pagi sebangunnya dari tidur, Ameer yang terlebih dahulu mengingatkan aku bahawa hari tersebut adalah hari jadinya. Dia erat merangkul leherku meminta pelukan, kemudian mengucup pipiku lantas aku ucapkan selamat hari lahir. Ameer semakin besar. Tubuhnya semakin meninggi menampakkan dia lebih kurus. Sememangnya amat berbeza dengan keadaannya di awal kelahiran enam tahun lalu, dengan tubuh tembam, lengan berketak-ketak dan dagu berbelah. Ada lesung pipit di pipinya.

Ameer memang ceria, perwatakannya amat berbeza dengan kaka dan adiknya. Ameer gemar mengusik, suka bersenda namun mudah pula terusik. Jiwanya halus dan amat senang tersentuh dengan perkara-perkara yang menyedihkan. Ameer juga lebih terbuka dan mudah untuk membantu. Semoga kelak, perwatakannya yang baik ini semakin bercambah dan bersemi menjadi leluhur dalam kehidupan, insan ikhlas yang akan membantu aku dan Mr Hubby ke syurga. Insya-Allah.
 


 
 


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers