Wednesday 26 February 2014

Rheumatic, Kesihatan dan keluarga

Amira telah di rumah... mujur hanya berada di wad tiga hari, setelah sakitnya dikenal pasti, ubat diberikan dan beransur-ansur kesakitan di kakinya surut. Sudahnya Amira dapat kembali ke rumah dengan bekalan ubat selama sebulan, namun doktor memberikan cuti rehat selama seminggu untuk dia benar-benar pulih dan dapat melakukan aktiviti harian.

Amira perlu menelan ubat lima biji sekali makan untuk empat kali sehari, maknanya 20 biji untuk satu hari.
Untuk seminggu sahaja dan kemudiannya berkurangan kepada tiga biji sekali dalam jumlah waktu yang sama. Aduhai... sememangnya makan ubat bukanlah satu perkara yang mudah bagi Amira, apatah lagi waktunya perlu selari iaitu setiap enam jam... pukul 6 pagi, 12 tengah hari, 6 petang dan 12 tengah malam. Kasihan dia, menelan ubat dalam keadaan mamai di tengah malam apabila terpaksa aku kejutkan. Lebih parah apabila ubat yang dimakan tak tertelan sebaliknya terluah dengan bahan makanan lain dari dalam perut. Air matanya bergenang, dan adakalanya merengek enggan makan ubat namun aku terpaksa bertegas. Ini langkah terbaik untuknya agar kesakitan tidak berulang lagi. Amira mudah faham, dalam keterpaksaan dia akan alah jua. 

Biarpun berada di rumah namun Amira perlu fokus pada pelajarannya kerana bimbang ketinggalan dengan rakan-rakan sekelasnya. Alhamdulillah Amira memahaminya dan abang Hakim banyak membantu dalam memberikan bimbingan untuk matematik Amira. Saban Sabtu abang Hakim  datang dan dari pagi hinggalah malam dia melayani anak-anakku, bersama dengan anak-anaknya juga.


Lebih dari itu, cuaca kini tidak menentu. Keadaan panas dan kering dengan hujan tiada langsung. Anak-anak perlu minum air kosong dalam jumlah yang banyak, khususnya Amira yang mudah terdedah kepada penyakit. Ameer dan Nina tidak sukar untuk minum air suam, lebih mudah berbanding Amira. Mudah juga untuk mereka menerima apa sahaja makanan yang dihidang berbanding Amira yang memilih. Tidak rumit menunya tetapi cerewet. Sejak sakitnya dari awal Februari lalu, dia kurang hingga hampir empat kilogram. Sikapnya tidak terbuka seperti Ameer yang mudah meluah apa-apa sahaja, tetapi cenderung untuk meminta penjelasan.


Aku sendiri langsung tidak ada aktiviti di luar rumah lantaran cahaya matahari yang menyengat malah dikatakan ada hari-hari tertentu bacaannya mencecah hingga 40c. Jika aku sendiri tidak tertahan bagaimana dengan mereka yang terpaksa mengharung kepanasan matahari dalam kerja seharian. Terbayang buruh kasar, petani, nelayan, peladang, ahli sukan malah pasukan beruniform seperti polis trafik, bomba dan lain-lain lagi yang terpaksa berpanas terik, bermandi peluh demi kelangsungan hidup, demi nafkah keluarga, demi keselamatan dan kesejahteraan orang lain. Bersyukurlah... dalam apa juga yang dilakukan, pemberian Allah SWT adalah yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah...

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers