Thursday 20 February 2014

Apa Sakit Amira?

Amira tak sihat. Amira sakit. Sepulangnya dari bercuti di Melaka dia telah diserang penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot & mouth diseases – HFMD). Bermula dengan demam dan kemudiannya diikuti dengan bintik-bintik di kaki dan tangan, lantas Amira terpaksa dikuarantin selama seminggu. Kementerian Kesihatan Daerah pun ada menghubungiku untuk bertanya punca dan tempat permulaan ia berlaku. Ini dibuat sebagai langkah untuk mencegah kerana penyakit ini berjangkit melalui peredaran virus dalam udara, namun mana mungkin aku tahu puncanya kerana barangkali Amira mendapat penyakit ini ketika kami bercuti di Melaka.

Lima hari Amira tidak bersekolah dan sekembalinya ke sekolah, banyak tugasan yang perlu dia kejar bagi memastikan dia tidak ketinggalan. Namun Amira tidak sembuh sepenuhnya. Dia masih sakit tekak biarpun demamnya sudah kebah dan gatal-gatal akibat HFMD sudah tiada. Rupanya tonsilnya masih belum sembuh. 

Selera makannya juga tumpul. Amira bertarung dengan kesihatannya sendiri, dia gagahkan diri berdepan dengan rasa tidak sihat sehinggalah hari Jumaat, setelah empat hari dia kembali ke sekolah, demamnya kembali menyerang. Lebih teruk apabila Amira sakit sehingga muntah di sekolah. Guru kelasnya, Cikgu Tan menghubungi aku agar dijemput Amira lantaran tidak sihat dan bimbang mudarat. Kebetulan pula, pada hari yang sama, Mr Hubby pun tidak sihat. Gagal pula aku hubunginya biarpun dia ada di rumah. Mr Hubby sakit kaki selepas bermain futsal – inilah akibatnya terlalu teruja bermain bola hinggakan tidak endah pada kesakitan...hehehe.

Aku jemput Amira dari kelasnya dan terus berkunjung ke klinik keluarga yang acapkali kami kunjungi. Doktor yang merawat mengesyorkan Amira untuk dirujuk ke hospital lantaran demam berulang yang dialaminya. Kemudian, aku bawa Amira ke Hospital Putrajaya. Memang tonsil Amira membengkak, dan doktor yang merawat meminta pemantauan rapi kepada kesihatannya sepanjang tahun ini untuk melihat sama ada ia perlu di bedah atau tidak. Ini kerana pembedahan adalah jalan terakhir apatah lagi untuk usia kanak-kanak yang akan mengakibatkan mereka fobia berdepan kesakitan.

Aku akui, memang Amira enggan berkunjung ke hospital malah amat payah untuk makan ubat. Namun apa pilihan yang dia ada, antara ubat dan hospital maka dia lebih rela menelan ubat. Untuk itu, doktor membekalkan antibiotik yang lebih kuat agar Amira kebah dari demam dan kembali pulih. Ada juga aku tanyakan pada doktor berkaitan kesakitan Amira yang seringkali mengadu sakit kaki, sekejap sakit dada, sekejap sakit lutut. Jawapan doktor itu adalah lumrah bagi kanak-kanak yang aktif dan lasak.

Kesakitan Amira menjadi perhatian utama aku. Pemakanan ubatnya sentiasa aku lakukan sendiri, aku pastikan tidak kurang dan tepat pada masanya. Air masak perlu diminum dengan jumlah yang banyak, tiada ais dan tiada makanan bergoreng. Amira akur dan dia juga sangat berhati-hati memilih makanan. Alhamdulillah, sakit tekaknya pulih.

Namun, yang menjadi kerisauan, Amira seringkali mengadu sakit kaki. Apabila diperiksa tidak pula bengkak atau lebam. Sekejap di lutut, sekejap di kaki kiri, sekejap pula di kaki kanan. Aku hilang punca, tapi Amira tetap bersemangat untuk bersekolah dan menjalani hari-hari kebiasaannya.

Baru sehari ke sekolah selepas melalui demam, Amira menghubungi aku sepulangnya dari kelas Kafa mengatakan kakinya makin sakit. Untuk berdiri lama dalam solat dia tidak tahan. Ada pula termuntah sewaktu di kafa, mujur sempat ke tandas. Aku pula merasa bimbang dan mengatakan padanya untuk tidak perlu ke sekolah sebaliknya rehatkan badan di rumah. Aku hubungi Mr Hubby maklumkan keadaan Amira dan jawabnya seakan menyalahkan aku yang terlalu padat menyusun jadual Amira, memanjakannya dan memenuhi apa jua permintaannya. Aku pula terkedu. Namun aku fahami, kesibukan Mr Hubby yang berdepan dengan tekanan membuatkannya hilang pertimbangan apabila bercakap dengan aku. Aku ambil sikap positif dan ketepikan keresahan. Keutamaan adalah pada Amira.

Entah... hilang punca juga memikirkan kesakitan Amira. Tidak pula dia demam tapi selera makannya hilang. Bermula dari kesakitan di kaki kiri, beralih ke kaki kanan. Dari pergelangan kaki hingga ke keseluruhannya sakit. Tidak ada pula bengkak, merah atau lebam tapi sangat sakit katanya, biarpun disentuh dengan jari. Dan lebih parah, Amira bukan sahaja tak boleh untuk berjalan, berdiri malah untuk menggerakkan kakinya pun terasa amat sakit. Sakitnya meruntun hati, suaranya sayu dan airmatanya mengiringi setiap butir patah katanya.

Amira kembali dibawa ke hospital Putrajaya. Mencari kepastian untuk kesakitan yang kami gagal ketahui puncanya. Apa penyakit Amira?         

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers