Friday 21 February 2014

Amira dan Acute Rheumatic Fever

Dua hari Amira ditempatkan di wad pediatrik, namun apa penyakitnya masih gagal diketahui. Semasa mula-mula ke hospital, doktor yang merawat mengatakan kemungkinan arthitis iaitu penyakit berkaitan sendi. Latar belakang keluarga antara aku dan Mr Hubby diselidik dengan teliti namun antara kami tiada yang berpenyakit sedemikian atau yang seangkatan dengannya, termasuklah SLE sekalipun. Kami juga bukanlah berkahwin di kalangan saudara yang dekat kerana latar belakang antara kami amat jauh berbeza. Faktor genetik diambil kira namun hasilnya negatif. Soal selidik berkaitan kesihatan Amira dibuat, dari segi teknikalnya sekalipun. Amira tidak pernah jatuh malah dalam diam aku berbual-bual dengannya bertanya secara langsung dari hati ke hati. Amira dengan jujur mengakui tidak pernah terjatuh. Ujian darah dan air kencing dilakukan kepada Amira, permeriksaan x-ray dibuat pada kaki Amira, ECG diambil, pemeriksaan jantung dan organ dalaman juga dilakukan bagi mengetahui segala punca. Kemudian pemeriksaan tulang dilaksanakan oleh sekumpulan pakar orthopedik. 

Keputusannya, memang bukan berkaitan tulang tapi yang jelas ada kuman dalam darah Amira. Bacaannya tinggi tapi simptomnya bukanlah berkaitan arthitis. Ini kerana tidak melibatkan sendi-sendi yang lain. Mujur juga tidak ada organ dalaman yang terbabit. Dari satu pakar ke satu pakar Amira beralih tangan dengan  siasatan rapi membabitkan mereka. Bukan arthitis, bukan orthopedik tapi akhirnya doktor bertemu punca iaitu rheumatic.

Pakar rheumatic, Dr Wong mengesahkan setelah membuat beberapa kajian dan penilaian, melihat dan meneliti perkembangan Amira. Katanya, penyakit ini adalah hasil daripada tindak balas antibiotik dengan antibodi dalam badan. Amira bernasib baik kerana ia hanya menyerang bahagian sendi di kaki walhal ada yang lebih teruk apabila menyerang jantung dan otak.

Apa sebenarnya penyakit demam rheumatic ini? Aku tak biasa mendengarnya kerana aku lebih cenderung kepada bahasa romantik dan tindakan dramatik... dalam aku keliru namun masih bersyukur kerana punca sakitnya diketahui.


Kata Dr Wong, demam yang berpanjangan dan kesan antibiotik telah memberi tindakbalas negatif. Kuman telah menyerang dalam darah dan Amira bernasib baik kerana kuman ini tak masuk ke dalam jantung, otak dan organ dalaman yang lain. Kuman ini telah menyerang bahagian sendi di kaki Amira yang mengakibatkan dia sampai tak boleh berjalan. Penyakit ini umumnya menyerang kanak-kanak berusia 5 hingga 15 tahun, terhasil kerana jangkitan selepas deman atau radang tekak yang mengakibatkan antibodi bersilang. Untuk jangka masa pendek ubat akan diberikan bagi memulihkan kembali Amira dan memastikan dia kembali berjalan seperti biasa. Namun dalam masa yang sama, Amira perlu bergantung kepada ubat secara berterusan sehinggalah usianya mencapai 21 tahun. Fuhhh...selama 12 tahun Amira perlu makan ubat saban hari... aduhaiiii... terkedu aku dibuatnya.

Dr Wong memberi penerangan lanjut, dua cara untuk pengambilan ubat iaitu:
1. pemakanan harian tanpa ada yang tertinggal kerana sebarang kemungkinan sama ada terlupa atau tidak mencukupi dos yang sepatutnya akan memberi kesan pada kesihatan dalam penyakit ini. 
2. melalui suntikan yang boleh diambil setiap bulan di klinik pakar. 

Cadangan dari doktor ialah pelan kedua dan aku menyetujuinya. Walaupun perlu berkunjung ke klinik saban bulan tetapi lebih mudah daripada perlunya memakan ubat saban hari tanpa gagal dan dalam waktu yang sama selama 12 tahun.

Alhamdulillah, syukur.... dalam kesakitan masih ada rawatannya. Dalam kesusahan masih banyak kemudahannya. Ketika kami mahu mengelakkan Amira dibedah kerana tonsil maka dia berdepan dengan rheumatic fever. Perancangan dari Allah swt melebihi perancangan kami yang kerdil ini. Aku redha berdepan dengan semua ini dan sememangnya kekuatan Amira aku kongsi bersama, kerana kami yakin kesakitan ini bersifat sementara. Ada hikmah di sebalik semuanya... ini juga adalah ingatan dari-Nya yang selama ini melihat kami bahagia dan gembira agar tidak alpa dengan-Nya. Alhamdulillah! 




7 comments:

Unknown said...

Salam..mcm mana keadaan adik amira skrg?bru2 ni isteri sy ada terjadi sakit2 smua sendi dan tanda2 spt reumatic fever..doktor tgh buat ujian lg

airikamalek said...

Wslm Mohd Tarmizi, alhamdulillah Amira sekarang sihat walafiat, cuma suntikan perlu dibuat setiap 28 hari dan kesihatannya perlu dipantau rapi agar tidak demam dan tidak berulang sakit sendinya. Semoga isteri saudara juga kembali sihat dan dihindarkan dari apa-apa penyakit.

Unknown said...

Boleh saya tahu kos injection utk setiap bulan tu...krn ank saya ada penyakit yg sama mcm Amira...tq

airikamalek said...

Puan Ziela Halim, maaf saya tak tahu kos suntikannya kerana segala rawatan saya buat di klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran sementara foloow-up di Hospital Putrajaya. Anak Puan sudah berapa lama sakit? Semoga Puan dan keluarga tabah berdepan dugaan sedemikian.

Unknown said...

Dlm 3 bulan...tp dia cpt sensitif dan mudah merajuk...kdg2 tu panas baran ...adakh amira pun sama?

Unknown said...

Dlm 3 bulan...tp dia cpt sensitif dan mudah merajuk...kdg2 tu panas baran ...adakh amira pun sama?

airikamalek said...

Puan Ziela Halim, dari segi emosi saya rasa x banyak perubahan. Amira memang sensitif tapi dia mudah berterus terang pada saya... tetap rajin bersekolah biarpun tidak sihat, dari awal kesakitannya dia bertahan.

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers