Wednesday 26 February 2014

Rheumatic, Kesihatan dan keluarga

Amira telah di rumah... mujur hanya berada di wad tiga hari, setelah sakitnya dikenal pasti, ubat diberikan dan beransur-ansur kesakitan di kakinya surut. Sudahnya Amira dapat kembali ke rumah dengan bekalan ubat selama sebulan, namun doktor memberikan cuti rehat selama seminggu untuk dia benar-benar pulih dan dapat melakukan aktiviti harian.

Amira perlu menelan ubat lima biji sekali makan untuk empat kali sehari, maknanya 20 biji untuk satu hari.

Friday 21 February 2014

Amira dan Acute Rheumatic Fever

Dua hari Amira ditempatkan di wad pediatrik, namun apa penyakitnya masih gagal diketahui. Semasa mula-mula ke hospital, doktor yang merawat mengatakan kemungkinan arthitis iaitu penyakit berkaitan sendi. Latar belakang keluarga antara aku dan Mr Hubby diselidik dengan teliti namun antara kami tiada yang berpenyakit sedemikian atau yang seangkatan dengannya, termasuklah SLE sekalipun. Kami juga bukanlah berkahwin di kalangan saudara yang dekat kerana latar belakang antara kami amat jauh berbeza. Faktor genetik diambil kira namun hasilnya negatif. Soal selidik berkaitan kesihatan Amira dibuat, dari segi teknikalnya sekalipun. Amira tidak pernah jatuh malah dalam diam aku berbual-bual dengannya bertanya secara langsung dari hati ke hati. Amira dengan jujur mengakui tidak pernah terjatuh. Ujian darah dan air kencing dilakukan kepada Amira, permeriksaan x-ray dibuat pada kaki Amira, ECG diambil, pemeriksaan jantung dan organ dalaman juga dilakukan bagi mengetahui segala punca. Kemudian pemeriksaan tulang dilaksanakan oleh sekumpulan pakar orthopedik. 

Thursday 20 February 2014

Apa Sakit Amira?

Amira tak sihat. Amira sakit. Sepulangnya dari bercuti di Melaka dia telah diserang penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot & mouth diseases – HFMD). Bermula dengan demam dan kemudiannya diikuti dengan bintik-bintik di kaki dan tangan, lantas Amira terpaksa dikuarantin selama seminggu. Kementerian Kesihatan Daerah pun ada menghubungiku untuk bertanya punca dan tempat permulaan ia berlaku. Ini dibuat sebagai langkah untuk mencegah kerana penyakit ini berjangkit melalui peredaran virus dalam udara, namun mana mungkin aku tahu puncanya kerana barangkali Amira mendapat penyakit ini ketika kami bercuti di Melaka.

Sunday 16 February 2014

Afrina Empat Tahun


Tarikh 16 Februari adalah hari kelahiran Nur Afrina Farisha. Dia lebih bersemangat untuk menyambutnya dengan meminta untuk memotong kek dan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi. Sebagaimana kebiasaan, sambutan dibuat dengan Achik kerana tarikh kelahiran hanya berselang sehari sahaja. Genap Afrina empat tahun dengan keletahnya yang amat menceriakan. Karektornya berbeza dengan Amira dan Ameer. Dia tidak suka melawak, sebaliknya dia lebih tegas dan serius. Tidak suka dipersenda dan dipermainkan dengan mempunyai pendirian kukuh. Kalau A katanya, maka dia tidak akan berganjak kepada B. Jika itu yang dia mahukan maka itulah yang perlu diberi kepadanya. Namun dia gemar membantu, mudah dibawa berbual dan tidak segan menjawab jika disapa, namun untuk memesrainya sebagai teman ambil masa.

Thursday 13 February 2014

Angan-angan, Impian & Cita-cita

Pelbagai impian nak dicapai. Macam-macam angan-angan yang bermain dalam minda. Ada cita-cita yang sedang diusahakan. Bermula dari angan-angan... memasang impian dan kemudian menyulam cita-cita yang bakal menjadi kenyataan. Ada yang sedang diusahakan... sudah bertahun-tahun tapi harap ia akan menjadi realiti tahun ini. Pepatah biar lambat asal selamat menjadi biar lambat asal dapat, jangan lambat langsung tak buat.... Jiwa membara, ibarat tenaga masih muda sedangkan tanggungjawab tergalas menggunung minta dilaksana. Yang mana satu perlu didahulukan akan diutama dan tentunya keluarga adalah segalanya.

Apa yang nak dilaksanakan? Persoalan itu yang perlu dijawab. Kemudian, gariskan perancangan berdasarkan kepada keperluan dan ruang masa yang ada. Apa yang perlu dilakukan dan bagaimana mahu diusahakan.  Aku ada 1, 2, 3 dan 4 impian untuk tahun ini....

Monday 3 February 2014

Bercuti - Bandar Bersejarah Melaka

Sempena cuti tahun baru Cina, kami bercuti lagi. Kali ini percutian amat berbeza berbanding sebelum ini. Tiada perancangan untuk ke tepian laut sebaliknya kami berkunjung ke kota bersejarah, Negeri Melaka. Sambil bercuti kami memberi pengisian berkaitan masa lampau kepada anak-anak. Seringkali kami mendengar rungutan susahnya belajar sejarah namun aku pasti ianya boleh dipupuk dari kecil, memberitahu apa yang berlaku dan tentunya mereka sendiri mahu menyelami sebab dan akibat akhirnya Melaka tidak bersultan biarpun sebelum ini gemilang dengan era kesultanannya.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers